rap

Muzik lebih 'brutal'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BAND Oxidicide ditubuhkan pada 2003 oleh empat anak muda iaitu Fendo (gitar), Ponn (gitar), Harman (penyanyi/bass) dan Pajai (drum) yang ketika itu belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur.

Ketika itu, industri muzik tempatan menyaksikan arus kebangkitan muzik underground yang berkembang rancak.

Justeru, mereka mengorak langkah menubuhkan band sendiri berkonsepkan 'crusty/crossover thrash metal' sesuai dengan pengaruh muzik mereka pada waktu itu dengan band barat seperti Anthrax, D.R.I, Suicidal Tendencies dan S.O.D selain band tempatan seperti Cataarh dan Torch.

Seorang anggotanya, Mat Rejab berkata, pada asalnya mereka menggunakan nama Extortion dan menghasilkan demo pertama pada 2004 diikuti dengan sebuah 'split album' dengan sebuah band fastcore dari Jerman, The FA pada 2005 yang mendapat sambutan dan ulasan yang positif dari dalam dan luar negara.

"Bermula dari sini kami mendapat jemputan untuk menyertai beberapa siri gig bawah tanah di seluruh negara. Kami juga menyertai pertandingan Rock Unite pada 2007, namun terpaksa berhenti di pusingan awal kerana konsep muzik yang dibawa ketika itu agak ekstrim dan tidak sesuai dengan format pertandingan. Namun, ia satu pengalaman yang berharga kerana dapat membuat persembahan di Istana Budaya, katanya.

Tahun 2007 juga menyaksikan cerita duka apabila Ponn meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya.

Rentetan dari peristiwa itu, ditambah dengan perpindahan pemain dram mereka ke United Kingdom kerana meneruskan karier dalam bidang kejuruteraan, mereka memilih berehat.

"Pada 2012 baru kami muncul semula dengan pertukaran beberapa anggota dan menukarkan nama band daripada Extortion kepada Oxidicide.

"Dua tahun selepas itu, Oxidicide mengeluarkan single dan muzik video berjudul Kera Jahanam yang mendapat sambungan positif peminat underground tempatan. Bermula dari situ juga kami kembali aktif bermain di gig dengan nama ini, katanya.

Antaranya yang paling diingati ialah Bertukang Malam Malam, KL Thrashed dan Glord Fest.

Tidak ketinggalan mereka turut dijemput menyertai gig Visualize 2017 di Singapura.

"Kami juga terus aktif bermain gig di samping terbabit dalam album kompilasi Underground Infinity Vol 1 & 2 yang diterbitkan di Indonesia, katanya.

Mat Rejab berkata, Oxidicide kini dikukuhkan dengan enam anggota iaitu Arepez666 (penyanyi), Fendo (gitar), Arkmal (gitar), Faizal the Mambang (bass) dan dia sendiri sebagai pemain dram.

Mereka membawakan konsep 'crossover thrash metal' yang lebih 'straight forward'.

Menurutnya, pada 7 Mac lalu, Oxodicide melancarkan album pertama berjudul Thrashophilia yang diterbitkan Goatlordth Records yang turut dimeriahkan oleh persembahan band dari Jerman iaitu Deaftrap.

Walaupun sambutan jualan album ini sedikit terganggu dengan pandemik Covid-19, ia mendapat ulasan positif oleh peminat tanah air dan luar negara termasuk di Jepun, Jerman dan Singapura.

"Buat masa ini album Trashophilia hanya boleh didapati dalam format CD, namun kami turut mempunyai perancangan untuk memasarkan album dalam bentuk kaset, piring hitam dan melalui platform digital, katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 6:45am
d