rap

Akshay, pelakon tunggal Bollywood raih bayaran tertinggi

Oleh Agensi

PELAKON terkenal Bollywood, Akshay Kumar menjadi penggiat seni tunggal dari India yang namanya berjaya disenarai sebagai 'Selebriti Mendapat Bayaran Tertinggi pada tahun ini oleh Forbes.

Akshay, 53, yang berkahwin dengan Twinkle Khanna pada 2001 dan memiliki dua anak, menceburi kerjaya lakonan di Bollywood pada 1991 dan hingga kini sudah beratus filem terbaik dibintanginya.

Menerusi senarai Forbes itu,  Akshay berada di kedudukan ke-52 dengan jumlah bayaran tertinggi diperoleh sekitar RM48.5 juta untuk tahun ini meliputi pelbagai tawaran projek kerja diterimanya.

Dengan kedudukan diraih itu, Akshay sekali gus berjaya mengalahkan beberapa selebriti ternama Hollywood seperti Will Smith, Lady Gaga, Katy Perry dan Celine Dion.

Akshay dalam wawancara bersama Forbes mendedahkan niatnya menyertai industri perfileman Bollywood hanyalah untuk mendapatkan wang bagi jaminan kehidupan lebih baik. 

"Saya harus berani membuat perubahan dengan masa. Ia meliputi dari lakon layar dan skrip hingga teknologi termasuk cara penggambaran serta penerimaan penonton.

"Pada masa sama, saya juga kena pastikan jumlah bayaran dalam setiap cek yang diterima pun berubah. Segala-galanya harus berubah dengan komitmen kerja diberi, "katanya.

Menurut Akshay lagi, pada ketika ini dia pernah menerima bayaran untuk satu projek lakonannya sekitar RM1.3 juta (10 juta rupee).

Bagaimanapun, katanya sebagai manusia biasa dia ada impian dan terfikir mengapa tidak cuba untuk mendapatkan hasil bayaran satu projek lakonan sehingga RM13 juta (100 juta rupee) pula.

Kata pelakon yang pernah melonjak dengan filem Dil To Pagal Hai pada 1997 ini, dia tidak akan pernah berhenti daripada terus berusaha hingga impianya untuk dapat bayaran lebih tibggi menjadi kenyataan.

 

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 1:19pm
d