rap

16 jam tahan sakit

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Nadzmi Adhwa menyifatkan isterinya, Ardell Aryana sebagai wanita hebat dan kuat ketika melahirkan anak mereka jam 2.22 pagi, hari ini selepas 16 jam berjuang menahan kesakitan.

Nadzmi ketika dihubungi berkata, dia juga sedih dan simpati melihat keadaan isterinya yang semakin lemah ketika proses kelahiran itu.

"Apabila lihat Ardell lemah, memang saya sedih kerana besar sungguh pengorbanannya untuk melahirkan anak kami. Alhamdulillah dia berjaya melakukannya.

"Pengalaman menemani isteri melahirkan anak membuatkan saya lebih menyayangi, menghormati serta menghargai pengorbanan seorang isteri dan ibu," katanya.

Nadzmi berkata, dia juga sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai bapa dan akan berusaha memberi yang terbaik buat isteri, anak dan keluarganya.

"Insya-Allah, saya tekad mahu menjadi bapa yang baik buat anak kami. Saya juga akan bersama-sama membantu isteri dalam penjagaan bayi.

"Saya sudah sedia untuk bangun malam menjaga anak memandangkan ini pengalaman pertama kami. Insya-Allah, saya yakin akan dipermudahkan Allah SWT," katanya.

Memilih untuk merahsiakan lagi jantina anaknya, Nadzmi berkata, dia sedia berkongsi selepas tujuh hari kelahiran termasuk pengumuman nama anak juga.

Terdahulu, Ardell selamat melahirkan bayi seberat 2.67 kilogram secara normal selepas 16 jam berjuang menahan sakit di sebuah pusat perubatan.

Nadzmi berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan keselamatan isteri dan bayi mereka.

Menerusi perkongsian foto di Instagram, Nadzmi yang kelihatan gembira untuk memotong tali pusat bayinya mendapat lebih 132,0000 tanda suka serta 3,500 komen daripada kalangan rakan artis dan peminat yang menyokongnya dan isteri.

Nadzmi dan Ardell mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu selepas beberapa tahun bersahabat baik.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 4:37pm
d