rap

'Semoga apa yang tergendala, dapat diteruskan'

Oleh Norhayati Nordin

PRESIDEN Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli mengharapkan 'kemasukan semula' Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia  (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri dapat meneruskan beberapa perkara utama yang tergendala dan pernah dibincangkan mereka sebelum ini.

  Jurey dihubungi berkata dia ada bertemu Ahmad Idham sekitar Januari dan Februari lalu untuk membincangkan beberapa perkara utama berkaitan memperkasakan industri hiburan untuk dibawa kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi tindakan selanjutnya.

"Ketika itu, Ahmad Idham masih lagi CEO Finas sebelum kontraknya ditamatkan awal pada 10 Mac lalu. Pada perjumpaan kami, saya membincangkan beberapa perkara yang dilihat perlu dilakukan untuk pembangunan industri seni.

"Antaranya, saya minta Finas perkasakan syarat untuk memperbaharui lesen kepada penerbit dengan melakukan 'interview' selama 15 ke 20 minit.

"Selain itu, saya juga menyarankan supaya Finas menyediakan kursus untuk penerbit terutama yang baru nak menyertai industri supaya tidak ada pihak yang ambil mudah.

  "Tidak ketinggalan, saya sarankan juga supaya Finas membuat akreditasi dengan pemberian sijil penghargaan kecemerlangan kepada pekerja- pekerja industri untuk mereka lebih komited dan utamakan kualiti kerja," katanya.

  Menurut Jurey, perkara yang disarankannya itu pernah dilaksanakan Finas kepada penerbit pada era 1990-an lalu. Katanya, ketika itu tidak mudah untuk mendapatkan lesen penerbit yang dikeluarkan Finas.

  Ujar Jurey, perbincangan dibuat  itu nyata disambut baik oleh Ahmad Idham tetapi hingga kini masih lagi tidak dapat maklum balas untuk hala tuju seterusnya.

   "Apapun, saya menerima baik kemasukan semula Ahmad Idham untuk duduk di 'kerusi panas' Finas itu. Namun, apa yang diharapkan semoga hala tuju industri hiburan tanah air akan jadi lebih baik dan terbela,' katanya.

Semalam, Finas dalam kenyataan dikeluarkan berbesar hati mengumumkan pelantikan Ahmad Idham sebagai CEO Finas yang baharu berkuat kuasa serta merta hingga 6 Jun 2022.

Ditanya juga mengenai peruntukan sebanyak RM225 juta sebagai insentif rangsangan ekonomi kepada industri melalui pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, Jurey berkata dia akan membuat perbincangan segera dengan pihak terbabit menguruskannya.

"Peruntukan disediakan kerajaan itu, saya lihat sebagai suntikan ekonomi yang positif untuk membantu industri hiburan tanah air 'bernafas' semula selepas terjejas teruk akibat pendamik Covid -19.

"Cuma, saya mewakili PVTM akan bertemu dengan pihak berkaitan yang menguruskan peruntukan itu untuk berbincang bagaimana cara penerbit boleh membuat permohonan. Bagi saya, perkara ini harus kita ketahui mekanismanya," kata Jurey.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 12:23pm
d