rap

Cruise saran bangunkan 'perkampungan bebas Covid-19'

Oleh Agensi

PELAKON terkenal Hollywood, Tom Cruise, 58, menyarankan supaya dibangunkan dulu 'perkampungan bebas Covid-19' sebelum penggambaran filem terbarunya, Mission: Impossible 7 disambung semula.

  Penggambaran filem aksi penyiasatan hebat itu tergendala sebelum ini akibat penularan Covid-19 yang menyerang seluruh dunia tanpa dijangka hingga kini.  

  Menurut sumber kepada pelakon itu, penggambaran filem Mission: Impossible 7 sudah dimulakan sejak Disember tahun lalu, tetapi diberhentikan serta-merta selepas wabak Covid-19 tidak terkawal.  

   "Jadi, Tom sarankan cadangannya supaya lebih baik jika pihak produksi membangunkan dulu satu perkampungan bebas Covid-19 sebelum penggambaran bermula.  

  "Ia bertujuan untuk memastikan setiap tenaga kerja produksi dan pelakon filem itu berada dalam tahap kesihatan yang baik serta terhindar daripada jangkitan pandemik berbahaya berkenaan.  

  "Bagi Tom, soal kesihatan harus diutamakan berikutan hingga kini sudah ramai yang dijangkiti dan meninggal dunia akibat Covid-19. Malah, vaksin untuk wabak ini juga belum ditemui," katanya.

  Menurut sumber itu, lokasi untuk membangunkan perkampungan bebas Covid-19 berkenaan ialah di kawasan terbengkalai yang bersih dalam masa secepat mungkin boleh disiapkan.

 Selain itu, wajar juga untuk perkampungan berkenaan dibangunkan berikutan ketika ini banyak operasi hotel ditutup. Bahkan, jika ada hotel yang dibuka, kadar sewaan bilik ditetapkan agak tinggi.

Jelas sumber itu, barisan tenaga kerja produksi dan pelakon filem Mission: Impossible 7 mahu memulakan penggambaran tetapi langkah pencegahan awal lebih diutamakan.

  Sebelum ini, jadual penggambaran francais filem Mission: Impossible 7 itu giat dijalankan di lokasi Venice, Itali. Namun, akhirnya terpaksa diberhentikan untuk jaminan keselamatan.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 4:11pm
d