rap

"Saya perlu kerja, walau bayaran kecil..."

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON veteran, Norlia Ghani, 71, tidak menafikan bayaran lakonan diterima pelakon berpengalaman sepertinya agak kecil jika nak dibandingkan dengan bakat baru dan muda pada masa kini.

Norlia berkata sekarang kebanyakan pihak penerbit masih menawarkan bayaran tertentu kepada pelakon lama mengikut babak dilakonkan dan bukan episod.

"Dahulu pada era 1980-an dan 1990-an, penerbit akan bayar ikut episod, lebih berbaloilah untuk pelakon. Tetapi, sekarang bayaran dibuat secara penuh mengikut babak dilakonkan.

"Kiranya kalau babak lakonan saya ada dari episod pertama hingga ke akhir, kena akurlah dengan bayaran yang sudah ditetapkan oleh penerbit itu," katanya.

Ditanya anggaran bayaran diterima, Norlia berkata cukuplah sekadar dia memberitahu jumlahnya kecil daripada diterima kebanyakan pelakon muda dan baru.

Menurutnya, sebagai individu yang bergantung sumber pendapatan pada aktiviti lakonan, dia tidak ada pilihan kecuali terima sahaja bayaran sudah ditetapkan dengan berlapang dada.

"Daripada tak ada tawaran kerja langsung dan pendapatan terjejas, saya terima sahaja bayaran lakonan sudah ditetapkan penerbit. Lagi pun, saya pergi ke lokasi dan balik, dihantar oleh produksi.

"Saya tidak ada kenderaan sendiri untuk memudahkan pergerakan ke sana sini. Malah, saya pun jenis yang selesa menerima satu-satu tawaran lakonan dan tak reti nak ambil dua atau tiga tawaran serentak.

"Usia saya pun dah 'emas'. Jadi, saya fokus terima tawaran berlakon ikut kemampuan diri supaya tidaklah terlalu penat. Saya berlakon pun kerana minat dan sumber pendapatan," katanya.

Ditanya mengenai kesediaannya untuk kembali semula bekerja di lokasi, Norlia berkata dia akan memulakan penggambaran drama lakonannya yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu pada 20 Jun ini.

"Bagaimanapun, lokasinya saya tak pasti lagi. Memandangkan warga berusia seperti saya lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19, memang akan lebih berhati- hati dan mengkut segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kerisauan itu memang ada. Tapi, saya sudah terbiasa bekerja. Apatah lagi, saya perlu bekerja untuk terus memperoleh sumber pendapatan. Saya tolak tepi ssgala rasa bimbang," katanya.

Menurutnya, dia hanya berserah kepada Allah SWT untuk menjaga keselamatan dan kesihatan dirinya sepanjang menjalani penggambaran dan berada di lokasi untuk melaksanakan kerja lakonannya.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 5:36pm
d