rap

Izzue tak terganggu dikait soal anak

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Izzue Islam mengaku emosinya tidak terganggu apabila watak Faizul lakonannya dikaitkan warganet dengan kehidupan peribadi yang hingga kini belum dikurniakan cahaya mata.

  Izzue yang menjadi perhatian menerusi drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe di TV3 berkata, ketika menjalani penggambaran drama itu dia tidak berdepan situasi sukar, malah berusaha menjayakan dengan sebaik mungkin.

  "Saya okey saja sebab masa menjayakan babak itu untuk episod 10 yang disiarkan semalam, saya sudah terlebih duhulu membaca skrip dan mengetahui lebih awal mengenainya.

  "Memang babak terbabit berkait rapat dengan kehidupan sebenar saya dan lebih mudah untuk dibawakan. Saya tiada sebarang isu dan menganggap tiada zuriat lagi kerana belum rezeki.

  "Walaupun sedih tapi saya reda dengan ketentuan Ilahi. Sama macam apa yang dipaparkan dalam episod drama itu," katanya.

  Menurut Izzue, dia bersyukur apabila drama bersiri 13 episod itu mendapat sambutan baik penonton di televisyen dan laman YouTube TV3 Malaysia Official.

  "Alhamdulillah, rata-rata penonton memberikan komen yang positif dan suka dengan jalan cerita dalam drama itu. Cuma mereka sedih apabila drama ini berbaki tiga episod saja lagi.

  "Tak sangka drama ini mendapat maklum balas yang baik. Antaranya, ada yang memuji keserasian saya dengan pelakon  Elisya Sandha. Meskipun tidak ada babak bersentuhan, tapi kami berjaya mencipta  momen romantis sebaik mungkin,"katanya.

  Dalam perkembangan lain, Izzue kini tampil dengan lagu terbaharu berjudul Biar.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 6:48pm
d