rap

'Peringatan Allah buat saya...'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

PELAKON, Nazim Othman yang mengalami mimpi dicabut nyawa beberapa bulan lalu benar-benar memberi kesan dalam dirinya.

Nazim berkata, mimpi itu dianggap realistik sehingga berasa sukar untuk tidur selama beberapa hari. 

"Beberapa bulan lalu, saya mimpi nyawa dicabut. Dah dicabut nyawa, selepas itu hidup semula selepas beberapa saat. Selepas itu, dicabut sekali lagi nyawa ini dan kemudian, saya tersedar daripada tidur. 

"Tentunya saya rasa takut pada waktu itu. Rasa seperti benar-benar berlaku. Dan kemudian, saya tak dapat tidur untuk beberapa malam berikutnya," tulisnya di Instagram. 

Tambah pelakon drama Bukan Gadis Biasa itu, dia menganggap mimpi itu adalah sebagai salah satu cara Allah SWT memberi peringatan kepada hamba-Nya. 

"Orang kata, mimpi ini mungkin sekadar mainan tidur. Tapi, saya melihatnya sebagai cara Allah SWT memberi peringatan kepada saya untuk menilai segala pilihan saya dan cara hidup saya. 

"Wallahualam. Semoga kita semua meninggal dalam husnul khatimah. Amin," tulisnya. 

Menerusi status sama, Nazim turut berkongsi video pendek berdurasi 36 saat yang bercerita mengenai mimpi meninggal dunia. 

Perkongsian itu mendapat lebih 38,000 tontonan selain menerima pelbagai reaksi daripada peminat di ruangan komen. 

 

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 10:45am
d