rap

Kehangatan cinta Atikah dan Datuk Lokman

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

PELAKON Singapura yang mencipta nama di Malaysia, Atikah Suhaime yang sedang hangat bercinta dengan kekasihnya, Datuk Lokman Teh, mengakui belum melakukan sebarang persediaan untuk melangkah ke fasa seterusnya.

Perkara itu dikongsi menerusi pengurusnya, Nia Adlina Aishah yang menguruskan kerjaya seni pelakon itu di sini.

"Setakat ini, dia sedang hangat bercinta. Namun, belum ada sebarang persediaan untuk berkahwin dilakukan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Adlina, Atikah yang kini berada di Singapura menantikan 'lampu hijau' daripada pihak kerajaan Malaysia untuk membenarkan orang luar masuk ke negara ini.

"Buat masa sekarang, dia masih berada di Singapura. Jadi, tak boleh nak buat sebarang persediaan apa-apa. Apa yang dia nantikan adalah pintu sempadan dibuka semula kerana dia nak kembali bekerja.

"Masih ada satu drama terbitan Radius One berjudul Dendam Cinta Aryssa tergendala proses penggambaran yang berbaki 10 episod," katanya.

Sebelum ini, Atikah pernah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi yang juga berasal dari Singapura, Awi Rafael sebelum putus tunang pada 14 Mac 2019, iaitu tiga hari sebelum majlis pernikahan berlangsung.

Dia kemudiannya berkenalan dengan Lokman pada Julai 2019.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 1:06pm
d