rap

Nana tak terburu-buru nak balik kampung

Oleh Najiy Jefri

PELAKON dan penyanyi popular Siti Nordiana tidak bercadang untuk pulang ke kampung halamannya di Felda Sendayan, Negeri Sembilan dalam waktu terdekat ini walaupun kerajaan sudah membenarkan perjalanan merentas negeri kerana terikat dengan komitmen kerja.

Penyanyi yang popular dengan lagu Memori Berkasih dan selesa disapa Nana itu berkata, dia akan pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga abangnya yang menetap di rumah keluarga mereka di sana selepas selesai urusan kerja.

"Walaupun sudah dibenarkan merentas negeri, tapi saya terikat dengan tawaran persembahan dan perlu menyiapkan muzik video single terbaharu saya di Janda Baik, Pahang.

"Jika diikutkan setiap tahun memang saya akan pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, namun kalau pulang esok saya bimbang jalan raya akan sesak dan enggan  mengambil risiko. Saya sudah beritahu abang yang saya akan pulang menyambut Aidilfitri selepas selesai urusan kerja.

"Saya beruntung kerana kedua ibu bapa tinggal bersama saya di Kuala Lumpur. Jadi sambutan Aidilfitri saya dan anak, Rayyan Nakhaie tidaklah sunyi," katanya.

Menurut Nana, dia bersyukur Rayyan tidak merungut atau mendesaknya untuk pulang ke Sendayan dengan segera kerana suasana menyambut Aidilfitri di kampung  lebih seronok.

"Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikuatkuasakan, saya memang tak bawa Rayyan keluar ke mana-mana. Dia faham dengan situasi dan wabak yang sedang melanda. Jadi melihat keadaan yang berlaku dia tidak kisah kalau tidak pulang ke kampung menyambut hari raya," katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok hingga 31 Ogos ini.

PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri selain beberapa aktiviti yang dilarang ketika PKPB akan dibenarkan.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 11:12am
d