rap

Pandu mabuk, Lim Young Min tinggalkan AB6IX

Oleh Agensi

PENYANYI Lim Young Min secara rasmi meninggalkan kumpulan AB6IX selepas terbabit dalam insiden memandu secara mabuk, baru-baru ini.

Semalam, agensi pengurusannya Brand New Music memaklumkan berita itu dan mengesahkan dia kini bukan lagi anggota kumpulan berkenaan.

"Selepas perbincangan menyeluruh bersama Lim Young Min, dia secara rasmi meninggalkan AB6IX. Kami menghormati keputusannya disebabkan dia sendiri tidak mahu menjadi beban kepada kumpulan itu.

"Kami memohon maaf mencetuskan kebimbangan kepada semua peminat terhadap berita mengejut itu. Seperti dimaklumkan sebelum ini, AB6IX akan meneruskan promosi dengan empat anggota saja selepas ini," kata agensi itu.

Agensi terbabit turut memohon peminat akan terus setia menyokong kumpulan terbabit walaupun dengan ketiadaan Lim Young Min.

"Kami tahu berita ini mengecewakan ramai peminat yang sentiasa menyokong AB6IX. Kami berjanji akan berusaha untuk pastikan mereka kembali dengan muzik serta persembahan lebih matang.

"Kami mohon agar peminat tidak terjejas dengan berita itu dan terus sokong AB6IX. Mereka sangat berusaha keras untuk buat kemunculan semula meskipun berdepan situasi sulit berkenaan," katanya.

Pada 31 Mei lalu, penyanyi terbabit ditahan polis selepas didapati memandu secara mabuk dan serta-merta lesennya digantung. Disebabkan insiden itu, aktiviti promosi AB6IX terpaksa dihentikan sementara.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 11:26am
d