rap

Man Raja Lawak derma duit teater

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON dan pelawak, Man Raja Lawak, 43, mendermakan wang sejumlah RM3,000 yang diperoleh untuk bayaran teater Korupsi Dewan Semandung lakonannya kepada rakan yang memerlukan bantuan.

Man berkata, walaupun dia belum memperoleh baki bayaran daripada penerbit teater berkenaan iaitu Fauziah Ahmad Daud, dia bertindak demikian kerana sudah berniat mahu menyumbangkan wang bayaran berkenaan kepada rakannya yang berhadapan masalah kewangan.

"Saya tetap hargai usaha dilakukan kak Ogy (Fauziah) yang bertungkus lumus menjual pes kari air tangannya untuk mengumpul wang bagi melunaskan bayaran kami.

"Namun, saya fikir ada rakan yang lebih memerlukan wang itu dan tak salah jika menyumbangkannya sebagai bantuan. Lagipun, saya sudah lama berniat untuk membantu insan lain dengan wang berkenaan," katanya.

Mengulas bayaran tertunggak belum diterima, Man berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkannya lagi kerana sekarang dia mahu fokus kepada karier seninya semula.

"Kerajaan pun sudah membenarkan aktiviti penggambaran. Alhamdulillah saya juga sudah menerima beberapa tawaran berlakon. Jadi, sekarang saya bersemangat untuk kerja semula dalam normal baharu.

"Lagipun, hidup perlu diteruskan dan menjadi motivasi saya tidak mahu terlalu mengenangkan perkara membabitkan bayaran teater itu. Semuanya adalah pengalaman.

"Memandangkan kini bidang seni adalah kerjaya utama, sebolehnya saya tidak mahu ada masalah dengan orang lain. Pada saya, apa yang berlaku itu jadikan teladan," katanya.

Bapa dua anak berusia 16 dan 13 tahun ini berkata, dia juga akan lebih berhati-hati untuk menerima tawaran berlakon teater selepas ini kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Pada Mac lalu, ketika kes jangkitan Covid-19 dalam negara masih meningkat timbul isu produksi teater Kurupsi Dewan Semandung tidak menjelaskan bayaran kepada pelakon dan pekerja belakang tabir

 

Tamat

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 7:11pm
d