rap

Ne-Yo tabik hormat George Floyd

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI Ne-Yo menerusi Instagram berkongsi rasa terima kasihnya kepada keluarga mendiang George Floyd yang meninggal dunia pada 25 Mei lalu selepas menjadi mangsa kekerasan polis di Minneapolis, Amerika Syarikat.

Ne-Yo menulis ucapan yang mengiringi video nyanyiannya itu kerana berbesar hati apabila diberi peluang untuk menyanyikan lagu It's So Hard to Say Goodbye to Yesterday yang dipopularkan Boyz II Men di acara penghormatan terakhir George yang berlangsung hari ini di Houston, Texas.

"Terima kasih kepada keluarga George Floyd kerana mengizinkan saya untuk turut sama meraikan kehidupannya dan memberi penghormatan terakhir buatnya. Bukan mudah buat saya untuk menyanyi dengan rasa sebak dalam dada saya. Jadi, maafkan sekiranya ada kekurangan dalam nyanyian saya," tulisnya di Instagram.

Menurut penyanyi lagu One in a Million itu, dia dapat merasakan rasa kasih dan sayang daripada keluarga dan masyarakat.

"Rasa kasih dan sayang daripada keluarga dan masyarakat kepadanya benar-benar meruntun jiwa. Ia satu penghormatan buat saya untuk memberi penghormatan kepadanya.

"Perubahan sedang berlaku. Walaupun perlahan, ia pasti. Kematian Floyd adalah pencetus untuk segala-galanya. Floyd akan terus diingati melalui anak-anak dan orang yang dicintainya," tulisnya.

Video yang dimuat naik Ne-Yo itu ditonton hampir 35,000 kali dalam tempoh dua jam dan menerima pelbagai reaksi beremosi di ruangan komen.

Majlis perhormatan terakhir itu juga dihadiri beberapa selebriti terkenal lain antaranya Channing Tatum dan Jamie Foxx.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 9:20am
d