rap

Sawyer disingkir dari The Flash kerana ciapan 'rasis'

Oleh Georgie Joseph

ANGKARA ciapan lamanya yang berunsur rasis di Twitter dibongkar, aktor Hartley Sawyer, 35,  diumumkan disingkir dari siri popular The Flash dan tidak akan kembali untuk musim ketujuh, hari ini.

Menurut penerbit eksekutifnya Eric Wallace, perbuatan pelakon itu adalah sesuatu yang sangat menyedihkan dan tidak boleh diterima.

"Hartley Sawyer tidak akan kembali untuk musim ketujuh The Flash. Berhubung perkongsiannya di sosial media, kami tidak bertoleransi dengan kata hinaan yang ditujukan kepada bangsa, etnik, kewarganegaraan asal, jantina, mahupun orientasi seks.

"Perkataan sebegitu adalah tidak beretika untuk nilai dan polisi kami, yang mana kami berusaha untuk berevolusi dalam mempromosikan persekitaran kerja selamat, adil, dan produktif. Ciapan itu sangat hancurkan hati saya," kongsinya di Twitter.

Bagaimanapun, pelakon terbabit belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai penyingkirannya daripada siri berkenaan.

Menerusi perkongsiannya pada 31 Mei di Instagram, Sawyer ada memohon maaf mengenai sifat jahilnya pada masa lampau dan mengakui perbuatannya tidak boleh diterima.

"Kata-kata saya, tidak relevan dengan niat cuba berlawak, sangat melukakan, dan tidak boleh diterima. Saya sangat malu, saya boleh lakukan percubaan yang sangat teruk itu demi mencuri perhatian.

"Saya sangat menyesalinya. Kelakuan sebegitu sangat tidak boleh diterima. Kata-kata itu saya keluarkan sewaktu saya tidak terfikir dan menyedari boleh mencetuskan bahaya," katanya.

Akaun Twitternya itu sudah pun dipadam.

Minggu lalu, aktres Skai Jackson menerusi Twitter berkongsi tangkap skrin beberapa ciapan Sawyer pada 2012 yang sangat keterlaluan serta rata-rata berunsur rasis. Ciapan itu kembali menjadi bualan selepas pelakon terbabit bersuara mengenai isu Black Lives Matter.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 12:35pm
d