rap

SOP mudahkan penggambaran

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

PROSEDUR Operasi Standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk sektor industri kreatif yang dibenarkan untuk memulakan kerja-kerja penggambaran dan rakaman mulai hari ini bakal memudahkan penggiat seni membabitkan penggambaran filem, drama, iklan dan rakaman lagu.

Sektor industri kreatif yang disenaraikan merangkumi produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio, pra-produksi penggambaran dan produksi penggambaran.

Antara SOP yang dikeluarkan ialah syarikat produksi perlu menyediakan protokol di tempat kerja yang meliputi pengawasan penyakit dan pencegahan penyebaran jangkitan mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Syarikat produksi juga perlu melantik penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat produksi.

Selain itu, tenaga produksi yang tidak sihat sebelum penggambaran bermula harus memaklumkan status kesihatan masing-masing kepada syarikat produksi dan tidak dibenarkan untuk terbabit dalam penggambaran.

Semua tenaga produksi yang akan terbabit dalam penggambaran juga harus mengemukakan rekod perjalanan bagi tempoh empat minggu sebelum tarikh penggambaran.

Bagi memastikan penjarakan sosial dilakukan mengikut SOP, syarikat produksi perlu memastikan penggunaan tenaga produksi yang minima, bergantung kepada keluasan premis dan lokasi penggambaran.

Selain itu, semua tenaga produksi diwajibkan untuk mengekalkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter di lokasi penggambaran dan semua babak penggambaran yang membabitkan sentuhan tidak dibenarkan.

Dalam masa sama, syarikat produksi juga diminta untuk menggunakan kreativiti tersendiri bagi memastikan pematuhan SOP selain melakukan sesi uji bakat secara maya atau penghantaran video.

Sementara itu, jurusolek dan penata rias juga perlu mematuhi SOP yang ditetapkan dan dikehendaki menggunakan penghadang muka selain mencuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dan selepas menyolek.

Syarikat produksi juga disarankan untuk menyediakan satu set alat solek khas kepada setiap pelakon manakala artis pula harus melakukan 'minor touch up' sendiri bagi bagi mengurangkan sentuhan dengan jurusolek.

Semua pakaian (wardrobe) pula perlu dinyahkuman sebelum, selepas dan dibersihkan segera selepas digunakan. Perkongsian pakaian dan penggunaan semula adalah tidak dibenarkan.

 

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 10:15pm
d