rap

Metallica, Kiss terkaya

Oleh Agensi

WALAUPUN konsert jelajah dunia ditunda akibat penularan pandemik Covid-19, ia tidak menghalang beberapa kumpulan rock disenarai sebagai selebriti berpendapatan paling tinggi dalam Forbes's Celebrity 100, baru-baru ini.

Kumpulan heavy metal terkemuka dunia, Metallica dan kumpulan glam rock, Kiss masing-masing berada di kedudukan 78 dan 95.

 

Sehingga 4 April lalu, Metallica yang dianggotai James Hetfield (penyanyi, gitar), Lars Ulrich (dram), Kirk Hammett (gitar) dan Robert Trujillo (bass) memperoleh pendapatan sebanyak AS40.5 juta (RM172.2 juta).

 

Ia adalah sebahagian daripada pendapatan mereka menerusi konsert jelajah dunia WorldWired Tour yang bermula pada 26 Oktober 2016 di Puerto Rico. Konsert jelajah ini sepatutnya tamat pada 20 Disember tahun ini tetapi terpaksa dihentikan akibat Covid-19. Secara keseluruhan konsert jelajah terbabit mencatat kutipan kasar lebih AS400 juta (RM1.7 bilion).    

 

Sementara itu, Kiss yang dianggotai Paul Stanley (penyanyi, gitar), Gene Simmons (bass, penyanyi), Eric Singer (dram) dan Tommy Thayer (gitar) ini memperoleh pendapatan sebanyak AS36.5 juta (RM155.2 juta).

 

Ini adalah penampilan pertama mereka dalam Forbes sejak 2001. Dalam konsert jelajah sepanjang tahun lalu, kumpulan rock veteran ini memperoleh pendapatan kasar sebanyak AS90 juta (RM382.6 juta).

 

 

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 8:16am
d