rap

Sarah Hilderbrand kena tipu 

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"SAYA pernah tengok berita dan baca akhbar berkenaan perkara ini. Selalunya panggilan begitu daripada scammer dan saya tak akan melayan. Tapi entah bagaimana kali ini saya boleh terkena," kata pelakon Sarah Hildebrand yang menjadi mangsa penipuan dalam talian membabitkan beberapa individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis, Selasa lalu.

Sarah, 30, yang kerugian ribuan ringgit berkata, kejadian berlaku apabila dia menerima panggilan telefon kononnya daripada wakil LHDN ketika berada di rumahnya pada jam 10 pagi.

"Suami (Otto Gillen) ada tapi sedang tidur. Mula-mulanya saya tak rasa pun kena pukau. Individu itu seperti bermain dengan psikologi dan kata saya ada cukai tertunggak. 

"Apabila saya mempertikaikan, dia kemudian sebut nama syarikat yang katanya di bawah nama saya yang mempunyai tunggakan cukai. 

"Saya kata tak kenal syarikat itu dan tiada kena mengena. Saya bertegas tak nak bayar dan dia kata kalau bukan syarikat saya, saya kena buat laporan polis," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, bermula dari situ, panggilan disambungkan kepada seorang anggota polis dikatakan berpangkat pegawai dan dari situlah semuanya berlaku.

"Dia buat saya rasa takut. Dari situ saya sendiri sukar mengagak bila masanya dipukau atau sebaliknya. Yang nyata, saya memang terikut-ikut kemahuannya. Segala-galanya berlaku dengan pantas dan dia buat saya tertekan. 

"Dia marah-marah saya hingga buat saya jadi takut. Proses perbualan kami selesai sepenuhnya jam 1.30 tengah hari. Boleh dikatakan agak lama juga," katanya.

Menurutnya, jika difikirkan semula, dia kebiasaannya memang akan meletakkan telefon jika dimarahi sedemikian tanpa mengira status individu terbabit.

"Kalau saya betul-betul sedar, memang saya takkan layan, tapi kali ini tak sangka kenapa saya boleh ikut cakap mereka. Ketika membuat pindahan wang menggunakan mesin ATM di bank pun, saya masih tak boleh berfikir tindakan itu. Saya pergi sendirian tanpa suami.

"Kebiasaannya saya akan maklumkan setiap pergerakan saya kepadanya dan kadang-kadang dia akan temankan. Tapi kali sebab terlalu takut, saya buat semuanya senyap-senyap," katanya.

Sarah mengakui kerap didatangi panggilan begini tetapi sering mengabaikannya.

"Agak susah saya nak layan tapi kali ini dah nasib nak berlaku. Bagi saya jumlah kerugian ini agak banyak. Susah payah saya berlakon sana sini, akhirnya hilang begitu saja. Memang menyesal tapi apa boleh buat. Saya pun dah buat laporan polis. Kata mereka sukar untuk dapat wang kembali. 

"Tapi saya tak kisah semua itu asalkan mereka dapat ditangkap dan orang lain tak jadi mangsa seterusnya," katanya. 

Apa yang berlaku membuatkan Sarah tidak dapat melelapkan mata sedangkan keesokannya dia bakal memulakan penggambaran drama bersiri Tunggu Dulu Cinta.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suami dan ibunya tidak menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku. 

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 9:23am
d