rap

'Tak rapat dah' – Azrel Ismail

Oleh Syafil Syazwan Jefri

"DULU memang rapat, tapi sekarang dah tak rapat,".

Itu jawapan pelakon, Azrel Ismail ketika ditanya mengenai hubungannya dengan pelakon baru, Sharifah Husna sekali gus menafikan dakwaan mereka sedang hangat bercinta.

Azrel ketika dihubungi berkata, mereka mula mengenali antara satu sama lain dan rapat ketika menjalani penggambaran drama Puteri Yang Ditukar.

"Kami kenal kerana berlakon dalam drama yang sama. Kami rapat pun ketika sama-sama bekerja. Sekarang dah tak rapat. Fokus saya adalah kepada kerja memandangkan sudah tiga bulan tiada sebarang pendapatan akibat Covid-19. Jadi, saya nak tumpukan perhatian untuk bekerja terlebih dahulu," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia terbuka untuk menerima cinta dalam kehidupannya, Azrel hanya memberikan jawapan ringkas.

"Tidak. Kawan saja," katanya.

Sebelum ini, pelakon yang popular dengan drama bersiri Korban Kasih itu dikaitkan dengan pelakon manis itu dan Azrel sendiri lebih selesa menyerahkan hal jodoh kepada Allah.

Tamat

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 4:00pm
d