rap

Siti tak nak panjang cerita

Oleh Najiy Jefri

 

DATUK Seri Siti Nurhaliza enggan memanjangkan insiden dia diganggu seorang lelaki yang membuat kacau dan menjerit-jerit nama beliau dengan suami di depan pagar rumahnya, petang semalam.

Lelaki terbabit adalah orang sama yang menunjukkan kemaluannya di depan rumah Siti di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada 2015.

Dia yang juga duda anak dua sudah dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang atas kesalahan itu.

Siti berkata, walaupun pada mulanya terkejut melihat individu sama kembali menganggunya, namun lelaki itu beredar selepas perbuatannya tidak dipedulikan sesiapa.

"Saya tidak mahu panjangkan perkara ini kerana dia yang pernah datang dulu. Lagipun dia beredar sendiri selepas tiada siapa pedulikannya.

"Mula-mula terkejut sebab dia menjerit-jerit nama saya dan suami tapi tidak lama selepas itu dia beredar," katanya.

Siti juga tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Siti semalam berkongsi situasi itu di Instagram Story.

"Tolong! Macam mana nak buat! Ingat tak orang tak siuman yang pernah buat kacau di rumah saya dulu dah pernah masuk penjara dan surat khabar, kini menjelma kembali.

"Serba salah jadinya... Menjerit-jerit depan rumah," tulisnya.

Menerusi status sama, Siti turut meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 4:19pm
d