rap

Emosi Aina terganggu

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Aina Abdul mengakui kurang berkeyakinan untuk menonjolkan wajah apabila membaca komen kurang menyenangkan di saluran YouTube.

Aina yang kerap memuat naik video lagu 'cover' berkata, antara salah satu punca dia menyanyi mengunakan pelitup muka menerusi lagu Semalam kerana komen kurang enak yang dibaca sebelum ini amat menganggu emosinya.

"Sejak kebelakangan ini, saya kurang yakin nak menonjolkan wajah saya. Semenjak beberapa minggu lalu, saya sering terbaca komen kurang manis di YouTube.

"Banyak komen yang mempertikaikan penampilan saya dan membandingkan saya dengan penyanyi lain. Sejujurnya, perkara itu buat saya rasa kurang keyakinan diri hinggakan saya rasa diri saya seperti seorang yang buruk.

"Tapi, saya cuba tabahkan hati dan enggan ambil pusing. Sebaliknya berusaha menghiburkan peminat kerana sudah menjadi kerja saya untuk mempromosikan lagu sendiri di Instagram," katanya.

Menurut Aina, dia bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu apabila peminat memuji kemantapan vokalnya walaupun menyanyi sambil memakai pelitup muka.

Aina berkata, peminat setia menjadi nadi kekuatan untuknya berdepan pelbagai kecaman.

"Saya terharu ada peminat memuji dan mengatakan vokal semakin mantap biarpun memakai pelitup muka. Sejujurnya, ia seperti memujuk hati yang terguris ketika kata nista dilemparkan. Saya akan tetap terus berjuang demi peminat yang tak henti menyokong semenjak hari pertama," katanya.

Menurut Aina, dia tidak mempunyai sebarang formula ketika menyanyi menggunakan pelitup muka yang mendapat perhatian ramai apabila rata-rata kagum dengan kemampuannya menyanyi.

"Sebenarnya, saya tiada sebarang formula, sebaliknya hanya menyanyi seperti biasa. Saya mengambil nafas seperti biasa di ruang udara yang terdapat di bawah pelitup muka itu.

"Pada saya, sama sahaja cara menyanyi, pakai atau tak pakai alat itu, dua-dua pun kena ambil nafas secukupnya sebelum melontarkan vokal," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 6:15am
d