rap

Syahdunya azan daripada lima artis lelaki tanah air

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

INISIATIF satu saluran YouTube memuat naik video yang menyenaraikan lima artis lelaki Malaysia iaitu Faizal Tahir, Hazama, Johan As'ari, Alif Satar dan Sharul Kamal yang melaungkan azan dengan merdu disambut baik barisan artis terbabit.

Ia sekali gus membuktikan bahawa artis tempatan bukan leka dengan duniawi semata-mata tetapi juga mementingkan aspek ukhrawi.

Hazama dan Johan mengakui tidak mengetahui kewujudan saluran itu, namun gembira dan berterima kasih kepada pengendali saluran terbabit serta peminat yang memberikan sokongan terhadap usaha dilakukan.

Sharul yang juga bekas peserta Akademi Fantasia 2015 (AF2015) pula mengetahuinya menerusi maklum balas peminat yang disampaikan kepadanya menerusi Instagram.

Johan, 33, ketika dihubungi berkata, dia melaungkan azan secara spontan di sebuah masjid di Kulim, Kedah, ketika itu.

"Saya dapat jemputan ke sana. Apabila berada di situ, ahli kariah masjid terbabit minta saya azan. Walaupun terkejut saya tak nak menghampakan permintaan mereka. Perasaan gemuruh sudah tentu ada kerana saya tak sangka orang masjid minta laungkan azan waktu itu.

"Alhamdulillah, itulah pengalaman. Mereka tahu saya boleh azan mungkin kerana latar belakang saya yang pernah belajar di sekolah pondok," katanya kepada Harian Metro.

Johan yang pernah menjadi naib juara dalam pertandingan azan di Kolej Universiti Islam Melaka berkata, dia sememangnya suka melaungkan azan dan bukan mahu menunjuk-nunjuk.

"Kalau di masjid apabila tengok saja mikrofon, saya pasti nak azan. Rasa teringin sangat kalau dapat azan. Itu memang sifat saya. Jika sekiranya dijemput untuk azan, saya sangat gembira dan berbesar hati sambut pelawaan itu," katanya.

Bagi Hazama, 35, dia belum layak menjadi bilal kerana mempunyai banyak kekurangan.

"Azan itu dilaungkan kerana saya berlakon dalam telefilem Rock Sangkut dan filem Tiada Tajuk arahan Mawi. Apa yang dilakukan adalah kerana tuntutan watak. Kalau saya sendiri sengaja nak buat, rasanya memang tak layak.

"Untuk proses ini, saya banyak dibimbing oleh Mawi. Dia banyak bagi kata-kata sokongan dan kata saya boleh buat. Mawi pun mahir dalam bab begini," katanya.

Menurutnya, rakaman azan yang dibuat di studio itu mengambil masa agak lama untuk disiapkan.

"Azan lebih susah berbanding menyanyi. Tenaga untuk habiskan azan sebenarnya lebih banyak diperlukan berbanding menyanyi.

"Kadang-kadang rasa tak cukup nafas untuk habiskannya. Itulah sebab saya tak berani nak azan di depan ramai walaupun apabila pergi ke masjid, ditawarkan untuk azan.

"Bukan saya sombong tapi saya sedar saya belum layak untuk jadi bilal. Apapun saya bersyukur orang nampak benda ini positif dan terima dengan baik," katanya.

Sementara itu, Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Amin Kamarozaman berkata, terlalu ramai peminat yang memuji serta memberikan sokongan terhadapnya apabila melakukan perkara itu.

"Pada awalnya saya tak terfikir pun ia akan menjadi tular. Ketika itu saya terbabit dengan penggambaran untuk program travelog di Mesir. Jadi, saya ambil peluang melaungkan azan dan kongsikan di laman sosial saya. Ia bukan berniat menunjuk tapi lebih kepada yang positif.

"Apabila dapat sambutan, saya rasa seronok kerana ramai kanak-kanak cuba ikut nak azan seperti yang saya lakukan," katanya.

Sharul yang pernah menuntut di Maahad Tahfiz As Sofa, Rembau, Negeri Sembilan mengakui seronok dengan perkembangan yang berlaku.

"Ini kali pertama saya melaungkan azan dan maklum balasnya hebat. Untuk masa ini saya masih kekal dengan gaya dan cara serta karier dalam seni. Macam manapun saya takkan lupa ilmu yang dipelajari. Apa yang saya tahu, saya praktikkan. Untuk pakai kopiah itu tidaklah," katanya.

Dalam video berdurasi 10 minit itu, ia turut memaparkan Faizal Tahir melaungkan azan di Granada, Sepanyol ketika mengikuti misi kemanusiaan di sana.

Selain itu, ia turut memaparkan Faizal membaca surah Al-Fatihah bersama kanak-kanak Syria ketika mengikuti misi kemanusiaan di sana.

Turut dipaparkan ialah Alif Satar melaungkan azan Maghrib ketika hadir ke majlis berbuka puasa di rumah anak-anak yatim serta kemampuan Alif membacakan surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10 dengan baik.

Video yang dimuat naik sejak 14 April itu sudah mencatat kebih 1 juta tontonan dan hampir 1,500 komen.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 7:38pm
d