rap

Fathia kembali bertudung

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PELAKON Fathia Latiff yang kembali bertudung sebelum Ramadan lalu bersedia berdepan kecaman peminat berikutan keputusannya ini.

Fathia, 33, atau nama sebenarnya Nur Fathia Abdul Latiff berkata, dia tidak dapat mengelak sekiranya mereka mengaitkan dirinya sebagai mempermainkan agama.

"Saya pasti akan ada kritikan dan saya tak boleh buat apa-apa. Tapi saya suka kritikan kerana apa yang diperkatakan itu ada betulnya. Saya akan belajar dan terima apa yang diperkatakan untuk kebaikan. Mereka yang buat saya banyak berubah. Walaupun kata-kata mereka agak 'laser' tapi ia ada betulnya. Benda-benda baik kenapa saya tak ikut," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri Nur Kasih ini berkata, perbincangan hati ke hati dengan ibunya serta ahli keluarga membulatkan tekadnya untuk bertudung semula selepas lebih setahun menanggalkannya.

"Kata ummi (ibu), sampai bila saya asyik nak pakai dan buka tudung. Kita kena ada pendirian dalam hidup. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pula buat saya banyak luangkan masa dengan keluarga dan ada hikmahnya hingga saya buat keputusan ini.

"Sebelum ini pun saya tercari-cari pendirian sendiri. Apabila selalu bergaul dengan keluarga seperti solat Tarawih bersama, sedikit demi sedikit hidayah kembali datang," katanya.

Fathia berkata, perasaannya berbeza sewaktu tidak bertudung di mana dia akan berasa takut, cuak dan gemuruh kerana dipandang orang.

 "Rasanya saya terlalu ego waktu buat keputusan tanggalkan tudung dulu. Tanpa tudung, perasaan saya tak tenteram dan aman. Sekarang saya keluar pun rasa lega.

"Saya juga pernah mengikuti kelas pembinaan jati diri di sebuah lokasi atas permintaan keluarga. Memang pembelajaran yang diterapkan agak 'azab' dan tak ubah seperti PKP," katanya.

Kini, Fathia juga mengehadkan pergerakannya dan hanya keluar rumah atas urusan penting.

"Saya tak terikut-ikut perangai macam dulu. Takkanlah pada usia begini nak terikut-ikut lagi. Saya juga sebenarnya tiada kawan rapat, tapi artis senior seperti Che Ta memang banyak bagi sokongan moral terhadap saya. Saya sekarang terapkan prinsip sebagai orang Islam memang kena pakai tudung. Tak pakai tudung itu salah. Mesti kena faham itu dan saya akan kuatkan diri," katanya.

Mengulas sekiranya imej ini dikatakan sebagai strateginya yang menjual tudung, Fathia berkata, kata-kata ini sering didengarinya.

"Yang sebenarnya ketika jual tudung sebelum ini pun saya memang tak bertudung. Saya setuju perniagaan ini antara faktor yang buka hati saya kembali bertudung. Sampai bila nak macam dulu sahaja. Dulu saya terburu-buru buat keputusan tanggalkan tudung. Saya nak lawan benda yang betul. Saya akhirnya sedar saya wanita Islam, kena pakai tudung. Saya terfikir pada usia sekarang kenapa nak lawan cakap keluarga. Dulu lainlah kerana mungkin saya masih muda," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2020 @ 9:23pm
d