rap

Kerana PKP, produk tak laku

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI, Asheed Def Gab C mendedahkan mengalami kerugian apabila produk jualannya tidak dapat dijual akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Asheed, 47, atau nama sebenarnya Mohd Ashid Ahmad mengeluarkan produk minuman pelangsingan badan jenama Body Slank itu pada Jun tahun lalu.

"Saya berkongsi dengan seorang rakan dengan keluarkan modal di bawah RM15,000. Minuman ini hanya boleh digunakan untuk tempoh setahun dan akan tamat tempoh hujung bulan ini.

"Jumlah pengeluaran sebanyak 600 botol dan pasaran sepanjang enam bulan pertama dikira menggalakkan menerusi jualan sendiri dan dalam talian," katanya kepada Harian Metro.

Asheed yang popular menerusi lagu Cinta Sakti mengakui gembira apabila jualan produknya semakin meningkat.

"Saya juga ada dua ke tiga ejen. Bermula dari 50 hingga 100 botol, jualan semakin meningkat ke 200 botol. Namun, apabila PKP, semuanya terus terbantut dan produk tak dapat dijual.

"Selama tiga bulan PKP, produk ini sudah nak tamat tempoh. Apa boleh buat, kenalah reda dan cari idea untuk cari rezeki lain," katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu mengambil risiko terus menjual dan akan melupuskan produk ini.

"Saya terima hakikat ini bukan rezeki. Namun saya takkan buat lagi produk ini dan akan fikirkan produk yang lebih sesuai semasa situasi sekarang dan akan datang.

"Apapun saya tak serik walaupun hanya dapat pulangan modal separuh sahaja. Ini kali pertama saya keluarkan produk sendiri. Sebelum ini saya hanya menjadi ejen produk orang," katanya.

Asheed berkata, ketika bergelar ejen, dia tidak perlu berdepan risiko sebegitu dan sekiranya rajin mampu mengaut banyak pulangan.

"Sebetulnya apabila berniaga, saya dah fikir risiko untung rugi, tapi bahana Covid-19 ini memang langsung tak dijangka.

"Benda dah nak jadi. Bukan saya saja, tapi semua orang pasti terasa. Kita harus harungi bersama," katanya yang kini menyara hidup sebagai ejen jualan telco.

Asheed kini sudah menyiapkan tiga lagu terbaharu tetapi terpaksa menanti waktu yang sesuai untuk merlancarkannya.

Disiarkan pada: June 14, 2020 @ 4:50pm
d