rap

Bukan nak bermegah

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI terkenal, Azharina menjadi bahan bualan warganet gara-gara membuat perkongsian mengenai kenangan ketika zaman kecilnya dalam sebuah portal dalam talian.

Kisah memakai beg sekolah berjenama Prada yang dibeli di 'bundle' dan gedung beli-belah Parkson di Miri ditutup bagi membolehkan dia bersama adiknya membeli-belah mengundang kritikan.

Penyanyi lagu Elegi Sepi dikatakan sengaja bermegah dan ingin mempamer sisi hidupnya yang dianggap mewah.

"Sejujurnya selepas 20 tahun dalam industri ini saya malas sebenarnya malas nak bercakap mengenai isu sebegini. Tapi, saya perlu bercakap apabila pelbagai komen dan kritikan dilemparkan kepada saya.

"Saya faham kehidupan sebagai anak seni ramai yang tidak suka walaupun tidak mengenali siapa saya. Saya salahkan diri sendiri, tapi biar saya betulkan perkara sebenar.

"Jika boleh dihuraikan, konteks kata dalam artikel diterbitkan tidak lengkap. Disebabkan itu ia disalah erti segelintir pihak. Saya tidak pernah kata saya bermegah. Apabila wartawan bertanya pada saya apakah memori waktu kecil yang saya ingat bersama adik, jadi saya pun bercerita.

"Ketika itu saya melawat adik di Miri. Ayah membawa kami ke sebuah pusat beli-belah dan masuk dalam Parkson. Ayah memberikan masa 45 minit hingga sejam untuk kami berbelanja," katanya.

Azharina yang juga juara program Gegar Vaganza musim ketiga berkata, tidak sepatutnya isu itu menjadi bahan sindiran warganet.

"Apabila saya ditanya mengenai apakah barang berharga yang pernah diberikan oleh ibu, saya menjawab ibu saya membelikan beg Prada pada saya dan adik.

"Waktu itu saya mana mampu beli sendiri sebab berusia 10 tahun. Ibu beli beg itu daripada ibu saudara saya yang ada kedai bundle di Keningau. Barang itu baru sampai dari United Kingdom. Itu kisah 25 tahun lalu yang mana belum ada barang ciplak.

"Diakui saya suka bundle. Tidak pernah lagi dalam kenyataan saya mengatakan tidak suka beli bundle. Malah, saya pernah menerbitkan dokumentari dan mempromosikan bundle di seluruh Sabah dalam program Sabah Unik dan Dari Tawau ke Simpang Mengayau," katanya kepada individu yang menulis komen mengenai perkara itu.

Dalam masa sama, Azharina berharap pengguna laman sosial tidak bersikap serkap jarang dalam menulis sesuatu perkara.

"Jangan terus menghukum orang tanpa tahu isi kandungan kenyataan itu.

"Terus positif dan jangan suka menghukum atau menghina kehidupan orang lain. Ambik ia sebagai sesuatu yang positif untuk kita lebih kuat bekerja," katanya.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 6:30am
d