rap

'Kawe mesti boleh!'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

YOUTUBER dan pelakon, Syahmi Sazli tidak terkesan dengan cakap-cakap segelintir pihak yang mempertikaikan kemampuannya untuk mengarahkan filem Mael Totey.

Syahmi, 25, atau nama sebenarnya Muhd Syahmi Sazli berkata, dia menjadikan kata-kata negatif yang diterima sebagai semangat untuk menghasilkan yang terbaik.

"Disebabkan suara-suara itu juga memberi semangat pada saya untuk membuktikan yang mereka salah. Walaupun saya bukan pengarah hebat macam orang lain, tapi saya boleh buat.

"Saya menggunakan sepenuhnya pengalaman yang ada sebagai Youtuber untuk mengarah. Dalam masa sama, saya menggunakan khidmat kru yang memang terbabit dalam bidang perfileman untuk membantu.

"Pun begitu, saya tetap terharu sebab ramai orang hebat industri yang memberi kepercayaan kepada saya. Ia sekali gus menaikkan lagi semangat saya untuk menghasilkan filem ini," katanya kepada Harian Metro.

Syahmi yang juga pelakon filem Syif Malam Raya berkongsi, filem Mael Totey itu pada asalnya mahu diterbitkan dalam drama bersiri bagi tayangan sebuah stesen TV.

"Pada asalnya ini saya menghantar dua karya ke stesen TV iaitu Mael Totey Siri dan Drama Spontan. Tapi, yang diterima hanya Mael Totey Siri. Namun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tertangguh.

"Kemudian, filem Syif Malam Raya pun ditayangkan. Alhamdulillah, saya mendapat banyak maklum balas positif selain mereka menggalakkan saya untuk mencuba mengarah pula. Dari situ saya bertambah semangat dan yakin.

"Lagi pula, selepas muncul dalam filem itu saya mendapat dua tawaran berlakon filem dan mengarah satu filem. Tapi, saya fikir semula apa kata buat filem sendiri sebab saya memang ada produksi sendiri. Dari situ, saya terus tukar skrip dan jadikan ia filem," katanya.

Menurut Syahmi, anggaran keseluruhan filem sulung terbitan syarikatnya, Syahmi Sazli Production itu antara RM300,000 sehingga RM400,000.

"Kalau ikutkan wang simpanan saya tak cukup, tapi mujur ada isteri yang membantu. Kiranya, sekarang ini saya pinjam daripada dia pula," katanya.

Filem itu bakal memulakan penggambaran pada 12 Julai ini dan dijangka ditayangkan di saluran Astro First pada Ogos atau September ini.

Selain Syahmi, barisan pelakon utama lain yang terbabit adalah, Asif Suhaimi, Yoe Parey, Emaleen Minhad, Wanie Rohaimie, Yatin dan Bedul.

Pelakon pembantu lain pula terdiri daripada Catriona Ross, Husyairi Hussin, Daler Yusof dan Kamarool Yusoff.

Disiarkan pada: June 15, 2020 @ 4:07pm
d