rap

Segerakan projek 'Road to Oscar'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menggariskan empat pelan tindakan untuk direalisasikan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang juga agensi di bawah kementerian itu. 

Saifuddin ketika ditemui pada majlis sidang media yang berlangsung di Finas petang, hari ini menghuraikan empat pelan tindakan itu yang mana satu daripadanya adalah untuk membawa industri perfilem tanah air sehingga ke peringkat Oscar. 

"Saya nak sentuh mengenai satu perkara pokok iaitu garis besar haluan Finas yang berkaitan dengan paksi perniagaan Finas sendiri. 

"Ada empat kategori Iaitu Projek Oscar, memajukan filem secara keseluruhan termasuklah syarikat produksi dan pekerja industri, inkubator atau permulaaan dan projek kategori khas untuk kepentingan negara," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Saifuddin, Finas harus memulakan gerak kerja untuk Projek Oscar yang juga dikenali sebagai Road to Oscar itu secepat mungkin. 

"Bila dan bagaimana nak capai matlamat Projek Oscar ini harus mula diatur dan dilaksanakan. Tak kiralah ambil masa berapa tahun sama ada 10 atau 20 tahun pun, sasaran kena ada dan gerak kerja kena mulakan," katanya. 

Bercakap pads sidang media itu juga, Saifuddin  memberi contoh kejayaan filem Korea Selatan, Parasite yang merangkul anugerah filem terbaik pada acara berkelas dunia itu. 

"Korea Selatan memenangi anugerah Oscar menerusi filem Parasite dan mereka mengambil masa 30 tahun untuk industri filem mereka berjaya sehingga ke peringkat itu," katanya.  

Pada majlis sama, Saifuddin turut menyentuh usaha kementerian dan Finas dalam membantu menyalurkan dana kepada pekerja industri yang masih terjejas akibat krisis Covid-19. 

"Dalam tempoh enam bulan ini, kami akan bangunkan dan hidupkan semula industri dengan membantu mereka yang terjejas. 

"Kita akan gunakan dana yang ada bagi membantu kerana tidak semua syarikat produksi kembali memulakan operasi seperti sebelum ini," katanya. 

Turut hadir adalah Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Disiarkan pada: June 16, 2020 @ 8:59pm
d