rap

Shamsul Ghau Ghau ajar al-Quran di YouTube

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON dan pelawak Shamsul Ghau Ghau, 52, menggunakan platform YouTube untuk mengajar al-Quran sejak beberapa minggu lalu.

Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin yang mula mengajar al-Quran sejak dua tahun lalu ketika dihubungi berkata, saluran YouTube Jom Ngaji Quran itu dimulakan sejak seminggu selepas Aidilfitri lalu.

Ia juga sebagai alternatif bagi disesuaikan dengan peredaran zaman.

"Saya mendapat kebenaran untuk mengajar al-Quran di Selangor sejak dua tahun lalu dan dari situ, saya mengajar secara bertalaqqi (berdepan). Jadi, apabila kita dilanda krisis Covid-19, saya tak dapat mengajar selama tiga bulan dan mula menyiarkan sesi mengajar anak-anak di rumah secara langsung di Instagram dan Facebook.

"Dari situ, ramai menyarankan supaya saya membuka saluran YouTube dan menggunakan platform itu untuk mengajar al-Quran," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, katanya, dia masih lagi belajar cara untuk menggunakan platform itu supaya lebih interaktif.

"Saya masih lagi belajar dan bertanya kepada rakan-rakan yang lebih berpengalaman dalam menggunakan media sosial serta YouTube.

"Bezanya, rasa kurang puas kerana saya tak dapat nak mendengar bacaan penonton yang menonton dan membetulkan mana-mana bacaan atau bunyi yang tidak tepat kerana ia tak sama seperti mana kita mengajar secara bertalaqqi," katanya.

Shamsul mula berkongsi beberapa video bacaan surah lazim di YouTube menggunakan nama Pak Su Shamsul Ghau Ghau dan mula mendapat perhatian.

"Saya mulakan dengan surah-surah lazim terlebih dahulu kerana secara tak langsung, ia dapat menarik perhatian orang ramai untuk menonton. Perlahan-lahan, saya akan masuk kepada surah-surah lain. Bukan sahaja mengaji, tetapi kita sama-sama belajar adab semasa membaca al-Quran dengan betul," katanya.

Tidak hanya fokus kepada agama dan pengajian, saluran YouTube itu juga akan digunakan untuk kandungan lain seperti tempat makan dan juga lokasi menarik untuk melancong.

"Sebelum ini, saya pernah ada satu program sendiri di TV3 yang dikenali sebagai Shamsul @ Bazar Ramadan. Mana tahu, kalau ada rezeki, saya akan gunakan konsep sama dan hasilkan kandungan untuk saluran YouTube ini.

"Selain mengajak orang ramai untuk tertarik dengan dunia pengajian al-Quran, secara tak langsung saya dapat kongsikan pelbagai kandungan lain dan pada masa sama, menjana pendapatan," katanya.

Shamsul turut berkongsi berita gembira mengenai kehadiran saluran YouTube itu di Instagram dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengikut di platform media sosial itu.

Disiarkan pada: June 18, 2020 @ 2:57pm
d