rap

Iktiraf profesional industri kreatif

Oleh Sudirman Mohd Tahir

LEMBAGA Teknologis Malaysia (MBOT) adalah sebuah badan profesional yang ditubuhkan di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768) dengan fungsi penting bagi mengawal selia dan mengiktiraf teknologis dan juruteknik dalam profesion yang berasaskan Teknologi.

MBOT berjaya mengiktiraf profesional dalam 23 bidang teknologi sejak 2016 dengan Pembangunan Kandungan Kreatif adalah salah satu sub-bidang yang diiktiraf di bawah bidang Teknologi Seni Reka dan Multimedia Kreatif (AM).

Bidang yang diberi tumpuan bagi Pembangunan Kandungan Kreatif meliputi pembangunan kandungan berkaitan teknologi seperti reka bentuk, animasi 3D, perisian interaktif, penerbitan dan pembangunan permainan.

Pengerusi Creative Content Industry Guild Malaysia (CCIG), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, satu Memorandum Persefahaman (MOU) dimeterai antara MBOT dan CCIG dengan tujuan untuk membangun dan memperluas sub-bidang Pembangunan Kandungan Kreatif di bawah bidang Teknologi AM pada 2018.

"CCIG dilantik sebagai salah satu Panel Pakar Teknologi MBOT (TEP) dan memainkan peranan penting dalam membangunkan bidang Teknologi AM bersama dengan semua pemain industri dalam bidang tumpuan yang sama.

"Dengan pembangunan profesional dan rangka kerja latihan yang pesat, CCIG melengkapkan lagi misi dan visi MBOT sebagai institusi pembelajaran dan pakar industri dalam mengiktiraf teknologis dan juruteknik yang berkaitan dengan Pembangunan Kandungan Kreatif.

"Pelbagai kerjasama antara MBOT dan CCIG sudah dijalin sejak 2018 termasuk bengkel pembangunan bidang teknologi, bengkel strategik dan penilaian profesional bagi teknologis dan juruteknik," katanya.

Menurut Jurey, MBOT dan CCIG juga sudah membentuk kerjasama strategik untuk menggalakkan pengiktirafan profesional MBOT.

"Sehingga kini, terdapat 374 ahli berdaftar di bawah bidang Teknologi AM, dua daripadanya iaitu Prof Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq dan Azhar Ahmad adalah ahli Majlis CCIG yang diiktiraf sebagai perintis profesional dalam Teknologi AM.

"Kedua-dua ahli profesional perintis ini sudah menyumbangkan idea dan kepakaran dalam membangunkan bidang teknologi masing-masing sebagai wakil CCIG, terutama dalam sub-bidang Pembangunan Kandungan Kreatif.

"Sebagai institusi pembelajaran dan pakar industri, CCIG juga menjadi salah satu institusi yang memberikan sokongan kepada MBOT untuk mengiktiraf profesional yang cekap dan berpengetahuan dalam kandungan kreatif.

"Kerjasama strategik ini bermatlamat untuk menerokai inisiatif latihan semula dan peningkatan tahap kemahiran dalam jangka masa yang panjang, bagi memastikan golongan profesional kandungan kreatif di Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan perubahan pesat industri kreatif, yang amat bergantung dan dipacu oleh teknologi," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 6:15am
d