rap

Angkasawan negara bakal dapat kembar lagi

Oleh Najiy Jefri

 

ANGKASAWAN negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 48, berkongsi khabar gembira apabila bakal menimang sepasang lagi anak kembar.

Dr Sheikh Muszaphar berkata, isterinya, Datin Dr Halina Mohd Yunos, 39, kini hamil 13 minggu.

"Menjangkakan anak kembar lagi. Alhamdulillah, syukur sangat. Isteri kini hamil 13 minggu dengan kembar. Saya terpaku, teruja dan hilang kata-kata.

"Ia seperti Deja Vu. Kami sentiasa mahukan sebuah keluarga yang besar," katanya menerusi satu hantaran di Instagram, semalam.

Mereka sudah memiliki sepasang anak kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah yang kini berusia tiga tahun selain dua anak perempuan iaitu Sophea Isabella, 9, dan Sophea Natasha, 7.

Bagaimanapun, dia sedikit risau apabila kehamilan kembar membawa pelbagai risiko berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini.

"Mual berganda, muntah berganda, kembung berganda, mengidam berganda dan pendarahan berganda seperti yang pernah dialami isteri. Sukar untuk melihat dia dengan kandungan trimester pertama dan masih bekerja sebagai petugas barisan hadapan bagi merawat pesakit Covid-19," katanya.

Menurutnya, pergorbanan isterinya itu sememangnya berhak dihormati dan dihargai.

"Satu-satu perkara yang dapat saya lakukan adalah menambah berat badan bersama dengannya, yang merupakan sebahagian daripada perjanjian," katanya.

Dr Muszaphar dan Dr Halina mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.

 

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 8:37am
d