rap

Lepas kemalangan tetap hadir temuduga buat Erma tersentuh [VIDEO]

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENGARAH, penerbit dan pelakon, Erma Fatima tersentuh hati dengan kecekalan dan semangat seorang lelaki yang sanggup menghadiri temuduga kerja di syarikatnya walaupun cedera akibat kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan ke pejabatnya, semalam.

Erma juga berjanji akan menawarkan jawatan bersesuaian untuk lelaki terbabit.

"Dia seorang yang sangat cekal. Dalam keadaan berdarah-darah selepas kemalangan, dia datang juga ke pejabat saya dan meminta saya menemuduganya walaupun saya menyuruhnya balik.

"Namun, dia tak nak. Jadi kerana kecekalannya itu, saya akan menyediakan satu jawatan khas untuknya selepas dia pulih nanti.

"Saya percaya jika begitulah sikapnya, maknanya apabila dia bekerja juga dia akan bersungguh-bersungguh seperti itu. Dalam keadaan begitu dia masih berusaha. Itu yang menyentuh hati saya," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Erma berkongsi kisah kecekalan lelaki terbabit yang mengalami kecederaan selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Instagram.

Dalam video yang dimuat naik itu menyaksikan lelaki itu menjadi mangsa langgar lari selepas motosikalnya dihimpit sebuah kereta sebelum terjatuh.

"Perjalanan dia ke pejabat aku untuk temuduga mengakibatkan dia mendapat kemalangan. Yang melanggarnya lari. Sebak aku kerana dia masih datang temuduga dalam keadaan berdarah semata-mata untuk selesaikan juga temuduga dengan aku.

"Terketar-ketar dia depan aku menahan sakit. Aku suruh dia ke hospital namun dia tetap paksa aku untuk interview (temuduga) dia. Kau sangat cekal dik," tulis Erma di Instagram.

Menurutnya, agak susah untuk bertemu individu secekal lelaki itu.

"Dalam keadaan begitu kau masih usaha juga untuk hadir temuduga. Dan aku dapat tahu tulang rusuknya patah dan hatinya bengkak," katanya.

Pelakon drama Mak Cun ini berkata, lelaki terbabit menghantar mesej kepadanya selepas itu memberitahu mungkin hanya akan pulih sebulan lagi dan menyuruh memberikan jawatan itu kepada orang lain.

"Akak akan tunggu. Kau lulus temuduga ini bukan kerana kau kemalangan tetapi kerana kecekalan kau dik. "Moga begitu jugalah dedikasinya kau dalam mencari rezeki. Akak doakan kau cepat sembuh dan jawatan untuk kau sentiasa ada di syarikat akak. Akak tunggu!," katanya.

Sementara itu, lelaki terbabit, Ahmad Muzammil Mohd Haflan, 33, ketika dihubungi berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Erma kerana memberikannya peluang bekerja.

"Saya terharu dia sanggup tunggu saya sembuh. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik dan terus mempelajari seperti yang dikehendaki," katanya yang masih dirawat di hospital.

Ahmad Muzammil yang juga jurugambar sambilan berkata, dia mengabaikan kesakitan serta keadaan dirinya yang berdarah kerana memikirkan temujanji yang sudah dibuat dengan Erma.

"Saya tak bolehlah tak datang sebab nanti kak Erma ingat saya tak serius nak mohon jawatan itu," katanya yang sudah memberikan keterangan berkenaan kes terbabit kepada polis.

Disiarkan pada: June 19, 2020 @ 7:06pm
d