rap

Neelofa permudah ibadah korban

Oleh Najiy Jefri

SEMPENA kedatangan Aidiladha Ogos ini, usahawan dan selebriti popular tanah air, Neelofa bakal melancarkan aktiviti pertama di bawah Pertubuhan Kasih Neelofa iaitu Qurban Kasih Neelofa.

Menurut bekas pengacara MeleTOP itu, program itu dibuat bagi memberi peluang kepada individu yang ingin melaksanakan ibadah korban dengan mudah di samping memberi ilmu pengetahuan kepada orang ramai yang mungkin tidak tahu mengenai proses melaksanakan ibadah korban secara berhemah dan betul.

"Menerusi program Qurban Kasih Neelofa ini, kami berharap agar dapat memudahkan proses golongan yang ingin melaksanakan ibadah korban.

"Menerusi program ini juga, kami berharap ia dapat menambah ilmu orang ramai kepentingan dan kebaikan ibadah korban dalam kalangan umat Islam," katanya.

Menurut Neelofa, banyak aktiviti sudah diatur dan berharap segala program yang dijalankan bagi memberi kepada masyarakat dipermudahkan urusan.

"Banyak aktiviti lain yang dirangka Pertubuhan Kasih Neelofa, tetapi, kami akan umumkan satu persatu pada masa akan datang.

"Bukan mudah untuk menguruskan pertubuhan, lebih-lebih lagi yang membabitkan wang kebajikan dan derma daripada orang ramai. Ia adalah satu amanah yang sangat besar.

"Saya berharap orang ramai memberikan kepercayaan kepada saya dan sama-sama menjadikan Pertubuhan Kasih Neelofa ini sebagai platform untuk semua," katanya.

Khamis lalu, Neelofa membuat pengumuman mengenai pertubuhan kebajikan pertamanya yang dinamakan Pertubuhan Kasih Neelofa.

Neelofa berkata, idea itu tercetus beberapa tahun lalu dan dia percaya Pertubuhan Kasih Neelofa bakal menjadi platform terbaik untuk dirinya terbabit dengan masyarakat secara total.

"Saya sudah lama berhajat untuk membangunkan sebuah pertubuhan demi membantu golongan yang memerlukan. Namun, saya tidak mahu ia berjalan tanpa membabitkan saya secara keseluruhan. Saya mahu memberi fokus 100 peratus dan benar-benar mendalami masalah yang dihadapi masyarakat.

"Sebagai contoh, jika saya terlihat seseorang yang memerlukan bantuan di Twitter, saya akan cuba mendekati individu itu dan terus berhubung dengannya. Saya mahukan pendekatan seperti itu," katanya.

Katanya, Pertubuhan Kasih Neelofa merangkumi tiga teras utama iaitu keagamaan, kemasyarakatan dan bantuan untuk golongan kurang bernasib baik.

Selain Neelofa, Pertubuhan Kasih Neelofa diterajui bersama ibu, ibu saudaranya, Ustaz Azam dan ia adalah pertubuhan peringkat kebangsaan.

Dalam pada itu, Neelofa turut menubuhkan Syarikat Kasih Neelofa Resources, iaitu sebuah entiti yang berfungsi untuk menjana pendapatan untuk menggerakkan Pertubuhan Kasih Neelofa.

"Kasih Neelofa Resources adalah platform yang boleh dijadikan sebagai medium untuk menjual pelbagai produk untuk pengguna dan keuntungan daripada hasil semua jualan akan disalurkan sepenuhnya ke dalam tabung pertubuhan.

"Selain itu, inisiatif ini juga dapat memberi galakan kepada mereka di luar sana yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang dan membantu golongan yang memerlukan," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2020 @ 6:30am
d