rap

Anak Rita tumpang kasih sayang bapa saudara

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"PAK Long dan Pak Su bagi mereka itu lah 'bapa'," kongsi pelakon, Rita Rudaini mengenai makna Hari Bapa bagi kedua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 11, dan Airit Qaqa Arjuna, 9.

Rita berkata, kedua anaknya bertuah kerana dikelilingi bapa saudara yang baik dan sentiasa mengambil berat.

Malah, Rayyan dan Arjuna juga diberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada bapa saudara mereka sama seperti anak sendiri.

"Hari ini adalah Hari Bapa. Anak-anak tak pernah lupa ucapkan untuk saya, Pak Long dan Pak Su mereka. Dari kecil kasih sayang tak pernah berbelah bagi antara anak sendiri dan anak saudara.

"Apa yang anak mereka dapat, anak saya pun akan dapat. Mana pernah mereka lupa seinci pun anak-anak saya. Kasih sayang mereka tiada sempadan.

"Walaupun hanya bapa saudara, budak kecil ini akan ingat siapa yang selalu bersama mereka. Budak-budak akan kasih dan suka orang yang kasihkan mereka. Anak-anak saya cukup bertuah kerana dikelilingi bapa saudara yang baik dan mengambil berat umpama anak sendiri," katanya.

Menurut Rita, kedua anaknya juga sentiasa meluahkan rindu dan tidak pernah melupakan mereka.

"Walaupun berjauhan, tapi anak-anak saya tetap ingat dan sering ucap rasa rindu kalau lama tak jumpa. Mereka sering sebut kalau ada apa-apa. 

"Rasa yang ada dalam diri anak-anak terhadap bapa saudara mereka ni memang kasih sayang sejati. Senyuman dan mata bahagia mereka dapat saya rasa," katanya.

Menurut Rita, dia sentiasa mengingatkan kedua anaknya bahawa kasih sayang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

"Saya selalu pesan, ingatlah jasa mereka apabila besar nanti. Jagalah mereka seperti bapa sendiri. Kasih sayang mereka tidak boleh diganti dengan wang ringgit dan harta benda.

"Rayyan dan Arjuna adalah anak-anak yang paling bertuah dapat merasa kasih seorang ayah lebih dari satu," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2020 @ 7:34pm
d