rap

Umie Aida teruja nak terima menantu

Oleh Sudirman Mohd Tahir

 

PELAKON terkenal, Datin Seri Umie Aida teruja apabila anak sulungnya, Mohd Danial Firdaus bakal berkahwin dengan wanita pilihan dikenali Haniz Zahira, 28, yang dijangka berlangsung pada Disember ini.

 

Danial, 27, yang juga pemain keyboard kumpulan Neon Band melangsungkan majlis pertunangan dengan Haniz yang juga Pegawai Pemasaran pada majlis tertutup membabitkan kedua belah keluarga, semalam.

 

Umie ketika dihubungi mengakui dia memberi kebebasan kepada Danial dalam soal teman hidup.

 

"Alhamdulillah, sangat teruja. Sebenarnya perkara ini dari tahun lepas lagi. Apabila Danial menyuarakan dan mengatakan serius dengan perhubungan itu dan nak 'settle down' semua. Saya bertanya, sudah fikir betul-betul dan masak-masak. Dia kata sudah. Saya diam dan bertanya lagi.

 

"Saya beri kebebasan untuk dia memilih. Saya tak ada nak bantah. Sebab bagi saya mereka yang nak hidup dan lalui segalanya bersama. Apa anak saya suka, saya reda dan berkati. Insya Allah.

 

"Alhamdulillah, apabila saya jumpa Haniz, dia anak baik. Jumpa pula keluarga Haniz, masya Allah, rezeki Allah bagi. Bakal besan pun yang baik-baik. Saya cakap dengan anak selepas selesai pertunangan, kena bersyukur sebab bukan mudah pada zaman sekarang kita nak jumpa pasangan baik, bakal mak mentua baik. Jadi, kena bersyukur banyak-banyak rezeki yang Allah berikan," katanya kepada Harian Metro.

 

Dalam masa sama, Umie bersyukur kerana Danial berjaya menjadi manusia berguna dan bersedia memikul tanggungjawab baru sebagai ketua keluarga.

 

"Saya ada juga rasa sedih sebab berasakan anak masih kecil lagi. Macam cepat sangat masa berlalu. Alhamdulillah, dia kini 27 tahun dan sudah bersedia untuk pikul satu tanggunggungjawab baru. Sebab itu, saya izinkan dia untuk berkahwin dan bernikah secepat mungkin.

 

"Sepatutnya majlis tunang dan nikah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Tapi, apabila PKP kena ikut syarat tertentu pula. Itu semua ketentuan. Saya cakap pada anak, mahu bernikah tahun ini atau macam mana. Benda baik kena cepat-cepat. Tak perlu lambat-lambat. Saya berikan kebebasan buat keduanya untuk mereka bincang. Jadi, keputusannya mereka nak tunang dulu dan nikah secepat mungkin.

 

"Kena kursus dulu, dari situ baru boleh tetapkan tarikh. Kalau ikutkan saya, insya Allah majlisnya pada Disember untuk nikah dan sanding sekali. Kalau ikutkan mereka, nak nikah saja. Tapi apabila ada kelonggaran, jadi bersyukur. Apa pun kena ada majlis dan boleh disimpan sebagai kenangan. Cuma, tetamu kena terhad dan yang penting saja," katanya.

 

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 6:00pm
d