rap

'Saya masih waras!'- Roslan Shah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

"SIAPA mereka nak hukum saya sebagai ahli syurga atau neraka?!".

Itu soalan yang diajukan pelakon, pelawak, penyanyi dan pengacara, Roslan Shah kepada warganet yang menghakimi tindakannya dengan memuat naik video-video TikTok di Instagramnya.

Roslan yang kini berada di Singapura berkata, kecaman hebat warganet mula timbul selepas dia memuat naik video tarian, minggu lalu dengan mengenakan seluar pendek hitam, yang disangka seluar dalam.

"Ramai yang anggap saya hanya memakai seluar dalam dan menari dalam video TikTok itu. Namun, itu adalah salah faham kerana saya baru saja menyapu minyak urut memandangkan kaki saya sakit.

"Bila dah pakai minyak urut, saya terpaksa pakai seluar pendek dan tarik sehingga ke atas. Saya masih lagi waras dan tak mungkin akan muat naik video mengaibkan di media sosial," katanya kepada Harian Metro.

Dari situ, banyak komen serta mesej kecaman diterima sehingga ada individu yang menghina arwah ibunya.

"Saya tak tahu pun ada kecaman hebat selepas video itu dimuat naik. Bila dimaklumkan oleh peminat, saya terus periksa komen-komen yang keterlaluan itu sehingga ada yang suruh saya bertaubat dan sebagainya.

"Saya ambil keputusan untuk padam video itu apabila ada yang membabitkan nama arwah ibu saya," katanya.

Roslan menasihatkan warganet supaya sentiasa membaca kapsyen yang ditulis setiap kali dia memuat naik video atau gambar di media sosial.

"Saya sedar, sebagai artis ada peminat dan juga mereka yang membenci. Jadi, kita takkan dapat puaskan hati semua orang.

"Cumanya, sila baca kapsyen terlebih dahulu dan fahami sedalam-dalamnya sebelum menulis sebarang komen. Ini main tulis saja!" katanya lagi.

Roslan kini aktif di TikTok untuk mengubat kebosannannya selepas terkurung di dalam rumah selama empat bulan akibat krisis Covid-19 yang melanda dunia.

Disiarkan pada: June 22, 2020 @ 7:11pm
d