rap

Atta dan Aurel nak kahwin di Gelora Bung Karno

Oleh Agensi

SENSASI YouTube terkenal Indonesia, Atta Halilintar dan pasangannya yang juga anak kepada Krisdayanti iaitu, Aurel Hermansyah memasang impian untuk mengadakan majlis perkahwinan di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta.

Tidak hanya itu, pasangan terbabit juga mahu menjemput semua 'subscribers' atau pelanggan YouTube mereka hadir ke acara berkenaan.

Bercakap di saluran YouTube Atta, anak sulung kepada pasangan Krisdayanti dan Anang Hermansyah itu berkata, semua dijemput hadir secara percuma.

"Kami memang mahu buat majlis pernikahan dengan mengundang semua 'subscribers' abang (Atta) dan saya. Semua orang 'free' datang.

"Kami mahu buat di kawasan yang besar yang mana terdapat beberapa tempat untuk persembahan nyanyian. Teringin buat di GBK. Jadi, untuk 'subscribers' masuk ke kerusi penonton," katanya.

Jika perkara itu menjadi kenyataan, perkahwinan pasangan itu bakal mencipta rekod tersendiri yang mana stadium itu mampu memuatkan 80,000 penonton.

"Kalau semua datang memang tidak semua boleh bersalaman. Ini adalah rekod," katanya.

Sementara itu, Atta juga membayangkan pakaian tema bagi tetamu lelaki adalah warna hitam dan wanita berwarna ungu.

"Yang cowok (lelaki) pakai hitam dan cewek (wanita) warna ungu. Semoga boleh tercapai. Ini bukan janji, tapi lebih kepada impian," katanya.

Untuk rekod, Atta mempunyai 23.9 juta pengikut dan Aurel memiliki 2.34 juta pengikut YouTube.

 

Disiarkan pada: June 23, 2020 @ 11:01am
d