rap

Meleleh air mata Aeril Zafrel buat ujian Covid-19

Oleh Sudirman Mohd Tahir

DISEBABKAN dua hari berasa tidak sedap badan dan sakit tekak, pelakon, Aeril Zafrel mengambil inisiatif dengan membuat ujian Covid-19.

Aeril berkata, keputusan itu dibuat atas rasa tanggungjawab pada diri sendiri dan orang sekeliling apatah lagi mempunyai bayi yang baru berusia enam bulan.

"Ujian ini saya buat dua hari lalu. Alhamdulillah, hasilnya negatif. Saya buat sebab badan rasa sengal-sengal dan tekak gatal. Memang tak sedap badan dibuatnya.

"Disebabkan rasa was-was, jadi untuk sedapkan hati saya panggil doktor dan buat ujian Covid-19. Bagi saya ini lebih kepada tanggungjawab diri sendiri. Ditambah pula, saya ada tiga anak dan sudah keluar bekerja. Sebelum ini pun ada kes yang tidak mempunyai gejala. Itu yang kita takut," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi pengalaman menjalani ujian Covid-19, Aeril yang juga suami kepada pelakon, Wawa Zainal berkata, dia sampai meleleh air mata.

"Sewaktu buat ujian itu memang rasa sakit sehingga meleleh air mata, tapi sekejap saja. Sebab kena buat dua bahagian iaitu hidung dan mulut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Aeril baru selesai terbabit penggambaran telefilem Luluh.

"Pengalaman baru apabila menjalani penggambaran mengikut prosedur operasi standard (SOP). Setiap hari produksi akan buat pemeriksaan suhu badan.

"Penggunaan sanitasi tangan dan pelitup muka juga sentiasa diamalkan. Memandangkan penggambaran dibuat di tempat orang, jadi memang kena jaga keselamatan," katanya.

 

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 12:16pm
d