rap

Fasha Sandha tetap gementar nak bersalin kali ketiga

Oleh Najiy Jefri

 

SELEPAS dua kali mengalami keguguran, pelakon popular Fasha Sandha yang kini hamil lapan bulan mengakui trauma untuk melalui proses bersalin.

Fasha berkata, walaupun pernah melahirkan dua anak sebelum ini, namun perasaan gemuruh dan takut masih ada dalam dirinya.

"Kandungan saya kini sudah berusia lapan bulan dan doktor sudah suruh saya bersedia bulan depan. Walaupun pernah melahirkan dua anak, saya tetap rasa gementar dan fobia kerana kali terakhir saya melahirkan anak adalah sekitar enam tahun lalu.

"Lagipun pengalaman keguguran membuatkan saya amat fobia. Barang kelengkapan masih belum dibeli kerana kebetulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ni. Insya-Allah minggu depan baru nak mula beli barangan untuk bayi perempuan kami," katanya.

Menurut Fasha, pengalaman dua kali keguguran menerusi perkahwinannya dengan pelakon Aidil Aziz membuatkan dia lebih berhati-hati dan sentiasa berdoa kepada Allah.

"Saya mengikut segala nasihat doktor iaitu lebihkan makan suplemen,  kurangkan pergerakan pada trimester pertama serta berdoa dan tawakal agar kandungan ini selamat sehingga dilahirkan," katanya.

Fasha berkahwin dengan Aidil pada 30 Mac tahun lalu dan kehamilan ini adalah bayi pertama mereka selepas keguguran sebanyak dua kali.

Menerusi perkahwinan pertamanya, Fasha mempunyai dua orang anak iaitu Putra Rayfal Ramli, 7, dan Putri Raysha Jemyma, 6.

Sementara itu, Fasha mengakui teruja apabila YouTuber sensasi, S Pavitra menyukai drama lakonannya dan meminatinya.

"Pada mulanya agak terkejut sebab jarang sekali penonton berbangsa India mengikuti drama-drama lakonan dan menjiwai watak yang saya bawakan. Saya amat menghargainya," katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 2:48pm
d