rap

Luna Maya selesa di rumah RM2.6 juta

Oleh Agensi

 

PELAKON, Luna Maya menetapkan syarat bersedia berpindah ke rumah suami selepas bernikah sekiranya rumah itu jauh lebih besar daripada kediamannya yang terletak di Jakarta Selatan.

Menjawab pertanyaan daripada Boy William yang disiarkan di saluran YouTube,  pelakon filem Suzzana: Bernafas Dalam Kubur itu berkata, jika sebaliknya dia bersedia menjemput suaminya itu tinggal di rumahnya.

"Kalau dia boleh berikan rumah yang lebih bagus dari rumah saya, saya keluarlah. Kalau ternyata rumah saya lebih bagus, tidak ada masalah dia pindah ke sini saja," katanya.

Menurut Luna, rumah mewah yang didiami ketika ini adalah rumah impiannya.

Malah, menerusi video itu juga Luna berkongsi beberapa ruangan kegemarannya.

"Di bilik dan dapur sudah seperti tempat kerja. Jadi kalau bukan di bilik, saya akan berada di dapur," katanya.

Luna yang pernah menjadi juri tetap program Maharaja Lawak Mega di Malaysia berkata, jika berada di rumah, dia kerap menghabiskan masa dengan bermain permainan video.

"Saya hanya boleh bermain Nintendo Switch. Permainan yang lain susah. Saya tidak suka berfikir," katanya.

Luna berkata, dia membeli rumah itu dengan harga RM2.6 juta dan pasaran terkini mencecah RM7.5 juta.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 3:35pm
d