rap

Adira caj RM10 saja

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Adira menyediakan platform menjual barangan 'preloved' di Instagram dengan kadar bayaran serendah RM10 sebagai langkah membantu orang ramai menjana pendapatan.

Adira berkata, dia membuka peluang kepada sesiapa saja untuk menjual barangan mereka di Instagram @adiraprelovedshop selain membantu dari segi promosi.

"Alhamdulillah, walaupun baru dua hari dibuka tapi sudah ramai pengikut dan ia mendapat sambutan menggalakkan.

"Platform ini bukan saja menjual 'preloved' daripada saya, tapi saya buka untuk artis lain juga terutama sekali untuk mereka yang tidak tahu di mana hendak menjual barang 'preloved' mereka. Jadi, saya menyediakan platform dan tolong promosikan. Urusan jual beli antara pemilik produk itu sendiri.

"Dari segi bayaran dikenakan pula sangat rendah dan bukan cekik darah. Sebagai contoh, jika barangan itu berharga kurang dari RM100, saya kenakan bayaran RM10 saja. Niat saya memang nak tolong dalam masa sama saya bantu juga promosi di Instagram," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Pujaan Hati ini, idea itu timbul selepas mula terbabit dalam bidang perniagaan.

"Kalau ikutkan idea ini sudah lama difikirkan, tapi belum buat sebab tidak ada keyakinan, kelapangan dan masa sesuai. Tapi, selepas berbincang dengan pengurus, kami setuju untuk mencuba.

"Kalau betul-betul fokus dan mendapat sokongan daripada rakan artis, usaha ini akan lebih dipandang. Kebetulan saya pun sudah ada perniagaan sendiri, jadi saya nak luaskan lagi cabang perniagaan ini. Apa yang ada depan mata saya ambil dan cuba. Apa yang penting minat kena ada," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 3:27pm
d