rap

Wani Kayrie fobia muat naik video TikTok

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Wani Kayrie mengakui fobia untuk memuat naik video baharu di akaun TikTok miliknya apabila masih menerima kecaman  di laman sosial susulan tindakan memuat naik klip video tariannya di aplikasi berkenaan dalam keadaan diri dimekap menjadi hitam seperti watak lakonannya dalam drama Dayang Senandung.

Wani, 20, berkata, dia juga terpaksa menetapkan akaun TikTok dan Instagram miliknya kepada 'privasi' kerana enggan mengeruhkan keadaan. 

"Sejujurnya saya masih fobia untuk kembali aktif di akaun TikTok. Sehingga kini, belum ada lagi video baru yang dimuat naik.  Malah, akaun TikTok dan Instagram saya juga sudah privasi sebab masih ada lagi pihak yang menunggu untuk menghentam.

"Saya buat begitu bukan kerana takut dikecam teruk, tapi saya tidak mahu keruhkan lagi keadaan. Saya sudah mohon maaf dan enggan panjangkan isu ini," katanya.

Menurut Wani, dia dan syarikat pengurusan, Suria Records (SRC) dalam perancangan untuk bertemu pengurusan TikTok Malaysia bagi menjelaskan situasi sebenar.

"Akaun saya ini dibuat oleh pihak TikTok ketika menyertai program realiti Big Stage. Jadi, saya rasa perlu untuk bertemu dengan mereka bagi menjelaskan keadaan yang berlaku.

"Saya ingin perkara ini selesai dengan baik dan aman. Saya tidak mahu menyakiti hati mana-mana pihak," katanya.

Terdahulu, lebih 3,000 pengguna menurunkan tandatangan menyokong petisyen dalam talian bagi mendesak penggambaran drama Dayang Senandung terbitan Zeel Production Sdn Bhd dihentikan serta-merta atas dakwaan mendiskriminasi warna kulit.

Kekecohan bermula dipercayai selepas Wani yang memegang watak Dayang Senandung memuat naik klip video tariannya di aplikasi TikTok.

Susulan video itu, isu membabitkan Dayang Senandung menjadi polemik dalam kalangan warga maya antaranya apabila ia dipaparkan sebagai wanita kulit hitam.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 2:39pm
d