rap

BCL ungkap kenangan pertemuan pertama...

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI dan pelakon Bunga Citra Lestari atau disapa BCL, hari ini berkongsi video detik pertemuan pertamanya dengan arwah suami, Allahyarham Ashraf Sinclair ketika temubual dalam program Beat TV di Astro Ria pada 2007.

Malah, BCL juga meletakkan caption bertulis 'Hadirmu Dalam Hidupku'.

Menerusi video terbabit, Ashraf sebagai hos dilihat agak kekok bertentangan mata dengan BCL sehingga tersasul menyebut namanya yang ketika itu mempromosikan album sulung berjudul Cinta Pertama.

Difahamkan, Ashraf terpaksa menggantikan tempat pengacara lain yang sepatutnya menemubual BCL.

Sebagai pelakon baharu ketika itu, Ashraf agak menggelabah sehinggakan menyebut nama BCL sebagai Bunga Cinta Lestari.

Insiden itulah yang menyatukan mereka sebagai pasangan bercinta dan seterusnya ke jenjang pelamin sebagai suami isteri. 

Bagaimanapun, rumah tangga yang dibina selama 11 tahun dengan penuh bahagia berakhir apabila ketentuan ajal memisahkan BCL dan Ashraf di dunia. 

Selepas lima jam dimuat naik di Instagram BCL, video 'kenangan abadi' itu mendapat tontonan sebanyak 1,849,658. 

Rata-rata komen datangnya daripada barisan artis kedua-dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia antaranya Titi Kamal, Datuk Seri Rossa, Luna Maya, Fasha Sandha, Fazura dan ramai lagi.

Tidak ketinggalan memberikan komen ialah penyanyi Yuna yang juga isteri kepada adik Ashraf iaitu Adam Sinclair. 

Pada 18 Februari lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita kematian Ashraf di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), Kuningan, Jakarta.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 6:32pm
d