rap

"Kritikan netizen, saya bersabar saja" -Noorkhiriah

Oleh Norhayati Nordin

HANYA kerana kerak hitam di kuali yang dianggap lendir, pelakon Noorkhiriah menerima teguran pedas daripada seorang pengguna media sosial yang menulis komen di Instagramnya, baru-baru ini.

Noorkhiriah, 44, dihubungi berkata dia tidak menyangka kerak hitam di kuali, yang juga karat besi itu mampu mencetus isu untuk dikritik oleh warga maya yang begitu teliti.

"Entahlah, tak tahu nak cakap apa mengenai sikap dan tindakan segelintir netizen ini. Ada sahaja nak dikritik termasuk kuali lama yang berkerak hitam di keliling.

"Kuali guna untuk masak hari-hari, dah lama pula, mestilah ada kerak hitamnya. Bukan lendir, tapi kerak hitam iaitu karat besi yang tak boleh hilang walaupun puas disental," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Noorkhiriah Ahmad Shapie ini, dia selesa bersabar sahaja dan enggan terlalu melayan komen-komen berbaur negatif di media sosial.

"Dalam soal kritikan atau komen pedas yang ditulis netizen, saya tak gemar layan sangat sebab malas nak kecoh atau bergaduh. Apatah lagi, saya dah tua.

"Malah, bukan cara saya nak bergaduh dengan orang lain. Cuma, kelakarlah juga apabila perihal kuali mencetuskan isu,' katanya.

Ujar Noorkhiriah, apapun dia yakin dengan balasan akan diterima setiap orang yang sabar. Katanya, dia kini berusaha untuk terus tingkatkan kesabaran.

Selain kuali, Noorkhiriah juga khabarnya ditegur netizen supaya jangan menunjuk-nunjuk untuk berbuat kebaikan selepas berkongsi hasrat membuat ubah suai pada kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya yang diwakaf menjadi van jenazah.

Menurut ibu dua anak ini, apa sahaja niatnya, Allah SWT lebih mengetahui. Katanya, dia akan terus bersabar menghadapi komen netizen di media sosial.

"Sabar, sabar dan terus sabar. Saya anggap kritikan pada setiap komen ditulis itu adalah dugaan Allah untuk menguji kesabaran,' katanya mengaku sangat aktif di media sosial terutama Instagram.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 7:54pm
d