rap

Sissy Imann kesal gambar salah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI Sissy Imann kesal apabila gambarnya disalah guna oleh satu syarikat penerbitan dan digunakan dalam satu berita yang tiada kaitan dengan dirinya yang diterbitkan semalam.

Sissy menerusi hantaran di Instagram berkata, isu warna kulit yang menggunakan gambarnya itu adalah isu sensitif dan boleh menimbulkan salah faham.

"Saya tiada kena-mengena dengan perkara ini dan saya harap pihak terbabit akan menurunkan gambar saya. Isu diskrimasi kaum bukan isu kecil dan saya harap tiada lagi pihak yang menyalahgunakan gambar saya sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat," katanya.

Dalam artikel yang diterbitkan itu, gambar Sissy digunakan dalam artikel mengenai penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie mengenai isu TikTok 'black face' (solekan wajah hitam) dan menimbulkan salah faham banyak pihak.

"Pada 24 Jun lalu, syarikat penerbitan itu mengeluarkan gambar saya atas isu berkaitan TikTok 'black face' yang langsung tiada kena mengena dengan saya. Pihak pengurusan saya sudah menghubungi pihak terbabit dan memaklumkan mengenai hal itu. Mereka sudah memadam gambar saya di portal berkenaan dan semuanya selesai," katanya.

Dalam pada itu, ibunya, Bonda Tanjung bimbangkan mengenai keselamatan anaknya berhubung perkara itu.

"Muka Sissy yang terpampang, jadi saya risau dari segi keselamatan dan reputasi. Lagi pun, isu diskriminasi perkauman bukanlah perkara kecil yang boleh dipandang remeh," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 4:32pm
d