rap

Cik Manggis De Fam dah bertudung

Oleh Norhayati Nordin

REAKSI terkedu suami, Syazmin Firdaus Aminuddin menjadi kenangan indah buat pelakon yang juga anggota kumpulan trio De Fam, Cik Manggis yang kini bertudung.

Cik Manggis, 30, atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin berkata, dia mula bertudung Ahad lalu dan suami yang melihat memberitahu itu saat paling menggembirakan dalam hidupnya.

"Suami saya hanya terkedu sebaik melihatnya. Tetapi, dia tidaklah terkejut sangat kerana gembira dengan penghijrahan yang saya lakukan.

"Walaupun kini bertudung, saya tetap meneruskan kerjaya nyanyian bersama De Fam. Penghijrahan ini satu kebaikan," katanya.

Cik Manggis yang mendirikan rumah tangga dengan Syazmin Firdaus pada Oktober 2014 berkata, dia juga selesa tidak terlalu menghebahkan cerita penghijrahannya itu.

"Saya memilih tampil bertudung sekarang di atas kerelaan diri sendiri dan bukan untuk tarik perhatian umum. Apa yang menyebabkan saya bertudung biarlah ia jadi rahsia. Tidak perlulah dikongsikan kepada umum," katanya.

Menurut Cik Manggis, dalam proses kehidupan seseorang pasti akan berusaha memperbaiki kekurangan diri. Begitulah juga dengan situasi dirinya.

Cik Manggis bergerak aktif dalam kerjaya nyanyian bersama De Fam sejak 2015, bersama dua rakannya iaitu Azira Shafinaz dan Sophia Liana.

Bersama De Fam, kumpulan ini popular dengan lagu seperti #Supergirls, With You, Bila Ada Kamu dan terbaharu, Panas.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 6:48pm
d