rap

Boy Iman akan fail rayuan

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON yang juga ahli perniagaan, Datuk Boy Iman, 40, akan memfailkan rayuan kepada mahkamah berhubung pengisytiharan muflis ke atas dirinya yang baru diketahui.

   Boy atau nama sebenar Noruliman A Rahman berkata apabila sudah diisytiharkan muflis atau bankrap, dia hanya boleh membuat rayuan dan kemudian menyelesaikannya secara insolvensi.

   "Saya memang terkejut apabila mengetahui keadaan diri yang sudah diisytiharkan bankrap. Ini kerana, saya tidak tahu-menahu mengenainya.

   "Itu yang saya jadi tergelak sebaik mendapat tahu mengenainya daripada laporan media. Malah, apabila merujuk pada peguam saya, dia pun tak tahu juga," katanya.

  Boy Iman berkata dia sebenarnya dalam proses menyelesaikan perkara itu kerana membabitkan tuntutan daripada ramai pihak tetapi harus ditangguh kerana penularan Covid-19.

  

  "Saya bersama peguam, memang nak menyelesaikan perkara ini. Bagaimanapun, sekarang saya harus akur berhadapan dugaan diisytiharkan bankrap ini dahulu.

   "Apapun, saya positif melalui segala dugaan ini kerana yakin Allah memberikannya sebagai peringatan untuk saya bermuhasabah diri di atas apa yang sudah berlaku," katanya.

  Terdahulu, Harian Metro melaporkan Boy Iman di isytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berkuat kuasa semalam.

  Pengisytiharan muflis itu diputuskan oleh mahkamah berikutan kegagalan Boy Iman selaku Penghutang Penghakiman melunaskan tuntunan lebih RM60,000 dibuat seorang individu pada pertengahan tahun 2019 lalu.

Terdahulu, Boy Iman menerusi syarikatnya, DBI  Technology Sdh Bhd ada melancarkan program pembinaan rumah mampu milik dikenali DBI Homes sekitar 2017 lalu dan disertai individu berkenaan yang membuat pembayaran penuh sebanyak RM50,000.

 

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 8:15pm
d