rap

Shuib tengah fikir gelaran Datuk

Oleh Najiy Jefri

PELAWAK popular dan penyampai radio Hot FM, Shuib mengakui ada menerima tawaran kurniaan yang membawa gelaran Datuk dari sebuah negeri, baru-baru ini.

Shuib berkata, dia kini sedang mempertimbangkan tawaran itu selain perlu mendapatkan beberapa pandangan daripada orang terdekatnya.

"Saya hanya perlu cakap ya, saya bakal dapat Datuk. Memang ada tawaran dari sebuah negeri dan kami akan adakan perjumpaan untuk berbincang perkara ini.

"Namun, saya masih belum buat keputusan dan sedang fikir-fikir lagi. Saya sudah mendapatkan nasihat pihak pengurusan dan orang-orang terdekat.

"Ada yang kata macam tak sesuai sebab saya masih bekerja sebagai penyampai radio dan aktiviti seni lain. Saya sendiri tidak pasti wajar atau tidak saya menerima tawaran itu walaupun mereka memaklumkan saya menepati segala kriteria ," katanya.

Shuib berkata, sebagai individu yang kini terarah dalam bidang perniagaan, dia mengakui gelaran terbabit mampu memberikan kelebihan kepadanya dalam beberapa perkara.

"Kalau pandang dari aspek perniagaan, saya rasa perlu mempertimbangkannya kerana saya perlu gelaran ini. Lagipun sejak kebelakangan ini saya kerap menghadiri mesyuarat dan berbincang mengenai perniagaan dengan usahawan berpangkat Datuk Seri dan Datuk hingga kadang-kadang saya rasa janggal.

"Mungkin jika ada gelaran itu, saya rasa lain sedikit ketika berurusan dengan mereka. Apapun saya masih perlu melihat tawaran ini dari pelbagai aspek dan tidak boleh terburu-buru," katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 1:57pm
d