rap

To'ki tenang di pondok usang

Oleh Fatin Farhana Ariffin

"SAYA mahu minta ampun daripada semua yang mengenali saya. Jika ada yang terguris hati melalui lagu atau karya yang saya cipta sepanjang saya hidup, tolong ampunkan dosa saya dan halalkan makan minum."

Itu kata penyanyi era 1990-an, To'ki, 53, yang namanya tiba-tiba menjadi sebutan netizen apabila foto pondok usang yang didiami bersama isteri di pinggir hutan di Batu 12, Gombak, tular sejak beberapa hari lalu.

To'ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur juga memohon hanya kisah baik mengenai dirinya dikongsi, bukan cerita peribadi.

"Usahlah ditanya berapa anak saya dan sebagainya. Jujurnya, tiada apa yang indah mengenai kehidupan saya ini untuk dikongsi bersama orang ramai kecuali rasa terharu atas keprihatinan semua," katanya.

To'ki yang tinggal di pondok itu bersama isterinya, Sharifah Fairuz Syed Yusof, 48, yang tidak mampu bergerak cergas berkata, dia tidak pernah menyesal dengan jalan hidup dipilih, jauh sekali mengeluh.

Malah, To'ki yang pernah mengungguli carta dengan lagu Biasan dan Seni Berzaman selain Naluri Cinta dendangan bersama Rohana Jalil, mengaku tenang dengan kehidupan sekarang.

"Apa yang saya mahu hanyalah hidup dalam ketenangan. Disebabkan itulah saya berada di sini," katanya.

To'ki juga terharu dan bersyukur selepas foto berkenaan menjadi tular, dia tidak putus-putus dikunjungi teman dan insan prihatin termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff dan penceramah popular, Ustaz Ebit Lew yang menghulurkan bantuan.

"Andai kata ada sumbangan dan bantuan lebih diterima, saya akan kongsi bersama insan memerlukan. Seperti beras, daripada tidak termakan, ada yang saya kongsi bersama insan memerlukan," katanya.

To'ki tidak menyangka saban hari, semakin ramai yang tampil menghulurkan sumbangan.

"Lebih membuatkan saya terharu apabila mendapat tahu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan hasrat untuk bertemu.

"Mungkin ini ganjaran Allah selepas setiap hari saya berdoa perkara positif. Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa apabila ramai yang mula menghargai karya saya.

"Ini termasuk video perkongsian ilmu yang dimuat naik di Facebook meraih banyak tontonan," katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 2:10pm
d