rap

'Rasa macam mimpi, betul ke abah dah meninggal'

Oleh Najiy Jefri

PENGACARA Sherry Alhadad gagal menahan air mata ketika mengimbau kembali detik kehilangan bapa tersayang, Syed Abdullah Syed Ali Al Hadad ketika berusia sembilan tahun. 

Perkongsian dibuat oleh Sherry dalam satu program bual bicara itu, menjentik emosi penonton serta pengacara program berkenaan yang turut menangis. 

Sherry berkata, ketika kehilangan insan paling disayangi, dia awalnya menganggap apa yang berlaku hanyalah mimpi. 

"Arwah tidak bekerja, dah pencen. Jadi kalau pergi mana-mana orang mesti cakap 'Tuan Syed bawa cucu ke?'. Sebenarnya, anak lah sebab beza umur kami jauh. 

"Jadi setiap kali saya balik dari sekolah, arwah akan menyorok. Bila buka sahaja pintu, saya akan terus mencarinya. Ia sudah menjadi rutin setiap kali saya balik ke rumah. 

"Tapi pada hari itu, buka pintu tengok abah tak ada. Rupanya, dia dah masuk hospital. Selama seminggu abah di hospital, saya  tidak dibenarkan melawat sebab masih kecil dan keesokan harinya, saya dimaklumkan abah dah meninggal dunia. 

"Saya masuk bilik dan terfikir betulkah apa yang berlaku ini. Saya anggap ia mungkin hanya sekadar mimpi," katanya. 

Menurut Sherry lagi, dia hanya menyedari arwah bapanya sudah tiada selepas dikebumikan. 

"Ketika jenazah dibawa ke rumah dan menunggu saudara-mara lain datang, saya seronok melayan dan bermain dengan sepupu-sepupu ketika itu. 

"Namun, apabila  arwah abah dikebumikan baru saya tersedar, ini realiti," katanya. 

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 4:23pm
d