rap

Angkara versi drama pendek

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BAGI mencipta kelainan, penyanyi Siti Nordiana atau Nana yang bakal muncul dengan lagu terbaharu, Angkara iaitu hasil ciptaan Sharon Paul dan lirik ditulis bersama oleh Ahmad Fedtri Yahya dan Nana, dia menjanjikan buah tangan yang cukup istimewa.

Sebelum melancarkan lagu itu, Nana terlebih dahulu menghadiahkan peminat dengan video muzik (MV) Angkara yang dipersembahkan dalam bentuk drama pendek.

Drama pendek hasil sentuhan Khairul Hazwan itu mengandungi empat episod yang mana pada episod akhir segala persoalan bakal terjawab. Menariknya, episod keempat itu juga adalah MV penuh Angkara.

Episod pengenalan sudah ditayangkan pada 3 Julai lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Menurut Nana, idea itu timbul selepas melihat anaknya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 12, yang suka menonton filem pendek di YouTube.

"Saya terfikir saya tak pernah buat macam ini, selalunya countdown saja dan terus keluar video muzik penuh. Bagi saya, ia sudah biasa. Jadi, kali ini saya nak bagi extra dan drama sikit pada peminat.

"Dalam video muzik ini peminat kena menonton drama pendek dulu baharu boleh tahu video penuh.

"Saya mendapat idea ini, sebab anak suka menonton drama dan filem pendek di YouTube. Dari situ, saya cuba untuk gunakan konsep sama dalam video muzik kali ini," katanya.

Nana yang juga pelakon drama Dia Semanis Honey berkata, idea jalan cerita yang dipaparkan adalah inspirasi daripada kisah masalah rumah tangga yang banyak dipaparkan dalam drama atau filem.

"Pada mulanya, saya memberi idea jalan cerita kepada pihak produksi. Mereka suka dan kami terus melakukan perbincangan untuk penambahbaikan. Dengan bantuan pengarah, pihak

Seventeen Eleven Music dan syarikat saya sendiri, maka terhasillah video muzik ini.

"Disebabkan banyak pihak terbabit, jadi saya perlu mendapatkan pandangan mereka juga. Baharulah orang kata, kerja ada variasi," katanya.

Teristimewa buat peminat Nana juga, MV Angkara ini turut menampilkan pelakon popular, Fikry Ibrahim.

"Pengarah kalau boleh nak muka bad boy dan ala-ala playgirl. Kebetulan, saya dan Fikry pun baik. Dia kawan yang sangat mudah nak bekerjasama. Berurusan dengan dia pun senang dan tak banyak kerenah.

"Pendek kata, dia sangat memudahkan kerja. Walaupun, ada yang cakap kenapa Fikry lagi, sebab dalam video muzik Hatiku Milikmu turut menggunakan Fikry. Tapi, disebabkan seronok bekerja dengan Fikry, jadi kenapa tidak kami terus bekerjasama.

"Dia pelakon yang sangat memberi. Kalau tengok drama pendek ini, macam-macam rasa ada," katanya.

Seterusnya, episod kedua bakal ditayangkan pada 8 Julai dan ketiga pada 13 Julai ini, jam 9 malam di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Sementara itu, video muzik penuh bakal dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai, serentak dengan pelancaran lagu baharu berjudul Angkara itu.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 6:30am
d