rap

'Gosip akan berterusan, selagi saya tak kahwin' - Nana

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI dan pelakon Siti Nordiana Alias atau Nana, 36, menyifatkan gosip membabitkan dirinya akan berterusan selagi dia tidak berkahwin dan kekal dengan status ibu tunggal.

Terbaharu,  ia berikutan, kerjasama Nana dan rakan baik yang juga pelakon Fikry Ibrahim menerusi video muzik lagu Angkara  nyanyiannya yang akan dilancar tidak lama lagi.

Menerusi gandingan yang dipersembahkan secara drama pendek itu, Nana dan Fikry dikatakan serasi bersama sebagai suami isteri. Malah, kebanyakan peminat mengatakan mereka sepadan.

 "Saya dan Fikry mungkin nampak serasi kerana kami sudah banyak kali kerja bersama sejak 2017 lagi. Kami jadi pengacara bersama, berlakon dan dia (Fikry) juga pernah tebabit dalam video muzik lagu Hatiku Milikmu.

"Disebabkan selalu bersama itu,  menguatkan lagi tanggapan peminat yang nampak kami serasi dan sepadan. Apatah lagi, kami pun masing- masing belum berumah tangga," katanya.

Ujar Nana, dia juga faham situasi mereka yang masih solo itu secara tidak langsung memudahkan terdedah dengan gosip yang berpanjangan pada kalangan peminat.

"Apapun, terima kasih diucapkan pada semua peminat kerana mendoakan yang terbaik buat saya Fikry. Terima kasih banyak dan terus doakan kejayaan kami.

"Namun, saya memilih Fikry untuk terbabit dalam video muzik Angkara kerana dia seorang yang mudah berurusan dan memberi kerjasama. Termasuk, kami juga ada keserasian," katanya.

Menurut Nana, istimewanya video muzik lagu Angkara ciptaan Sharon Paul dan lirik Ahmad Fedtri Yahya itu, ia mengetengahkan gabungan beberapa sahabat baiknya.

"Kesemua pelakon terbabit adalah rakan-rakan baik saya. Pemilihan mereka untuk memudahkan kerjasama kerana memahami apa yang saya inginkan melalui idea dikongsi.

"Alhamdulillah, untuk episod pertama video muzik ini yang digarap secara drama pendek 'trending' di YouTube selepas dimuat naik pada 3 Julai lalu," katanya.

Dalam muzik video lagu Angkara, Fikry ditampilkan selaku suami nakal yang mempunyai skandal lain.

Mengulasnya, Nana berkata dia kagum dengan bakat lakonan Fikry walaupun pertama kali melakonkan watak sebegitu. Ternyata, Fikry berjaya kerana karekternya mendapat kecaman.

   

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 5:55pm
d